IPOH - Kerajaan negeri memandang serius tindakan beberapa pengurusan tanah perkuburan Islam yang enggan menerima jenazah daripada luar untuk ditanam di kawasan mereka.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai tidak wajar kerana semua jenazah boleh ditanam di mana-mana tanah perkuburan di negeri ini.

Menurutnya, halangan itu menimbulkan masalah kepada waris yang terpaksa mencari kawasan tanah perkuburan lain untuk urusan pengebumian.

“Ini satu perkembangan yang tak sihat. Saya dah jumpa dua tiga kes di Perak yang tidak membenarkan orang luar untuk dikebumikan di kawasan tanah perkuburan berhampiran.

“Saya nak katakan di sini, kawasan perkuburan terbuka untuk dikebumikan di situ. Mana-mana pihak yang meninggal dunia, tak kira orang luar atau penduduk di kawasan itu, boleh ditanam di kawasan itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, ada pihak pengurusan tanah perkuburan tersebut mendakwa tindakan itu dibuat kerana kawasan itu merupakan wakaf khas untuk penduduk kampung sahaja.

Menurutnya, apabila diminta dokumen untuk mengesahkan perkara tersebut pihak pengurusan gagal mengemukakannya.

“Soal wakaf ini di bawah kuasa atau kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk). Jadi bila tiada dokumen sah mengatakan ia wakaf, bagaimana boleh kata orang luar tak boleh ditanam di situ.

“Setakat ini kawasan tanah perkuburan di Ipoh dan seluruh Perak masih banyak lagi, bukan terhad,” katanya.

Asmuni berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan Maipk bertindak menghentikan amalan menghalang jenazah luar dikebumikan.

Katanya, jika pihak pengurusan tanah perkuburan itu masih berdegil, mereka akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.