IPOH – Lebih 400 kakitangan Politeknik Ungku Omar (PUO) gempar apabila merasai gegaran hampir tiga minit, pagi semalam.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah berkata, sewaktu kejadian beliau sedang menghadiri mesyuarat bersama sembilan kakitangannya yang lain sebelum dikejutkan gegaran itu.

Menurutnya, gegaran itu menyebabkan pintu dan tingkap di sekeliling bilik mesyuarat bergetar sehingga menyebabkan mereka tergamam kerana terkejut dengan insiden tersebut.

“Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, kebanyakan warga kerja politeknik sibuk menjalankan tugas harian dan saya serta sembilan kakitangan lain sedang bermesyuarat.

“Tiba-tiba pintu dan tingkap bergetar selama beberapa minit menyebabkan ada dalam kalangan kakitangan yang panik menelefon talian kecemasan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Muhammad Zubir berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba di politeknik selepas mendapat panggilan dan membuat pemeriksaan di sekitar kawasan selama 15 minit.

“Bagaimanapun, menurut pegawai bomba yang bertugas mereka tidak menemui sebarang insiden yang menjurus kepada gegaran itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba mengesahkan ada menerima panggilan tersebut dan sudah menjalankan pemeriksaan di PUO dan siasatan mendapati tiada apa-apa yang berlaku di kawasan tersebut.

Selain itu, jurucakap Jabatan Meterologi Perak berkata, pihaknya tiada menerima sebarang laporan berhubung kejadian gempa bumi yang mengaitkan dengan gegaran berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, mereka ada menerima aduan orang awam berhubung kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati, gegaran itu berkemungkinan berpunca daripada letupan kuari atau latihan tentera yang sedang dijalankan di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca gegaran tersebut,” katanya.