IPOH - Bertubuh kecil, pendek namun digelar ‘Big Nose’ atau hidung besar, bukan kerana faktor fizikalnya, namun dek kerana kelebihan luar biasa yang dimilikinya.

Itulah keistimewaan Apot a/k Saad, seorang bekas anggota komando yang dianugerahkan kebolehan mengesan dan menghidu jejak musuh walaupun sudah berminggu ditinggalkan.

Kebolehan luar biasa Orang Asli dari kaum Semai sebagai pakar penjejak itu menyebabkan namanya menjadi sebutan ramai dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan VAT 69.

Gelaran Big Nose yang dibawa hingga kini diterima daripada tentera New Zealand pada ketika itu dalam misi usaha sama komando dengan negara asing termasuk Australia.

Gelaran itu juga sebenarnya menjadi kudis dalam kalangan pengganas komunis sekitar 70-an hingga 90-an apabila dianggap ancaman utama paling digeruni.

Bukan sahaja berupaya mengesan tapak kaki atau kasut, patahan ranting kecil serta kesan calar pada akar pokok yang ditinggalkan musuh juga tidak terlepas daripada pandangan Apot.

Sering diletakkan di barisan hadapan, Apot yang pernah menyertai 15 pertempuran sejak diserap dalam pasukan 69 Komando pada 1970 tidak pernah mengecewakan pasukannya.

Antara operasi yang membawa kejayaan adalah Ops Catfish, Ops Kambing, Ops Bamboo, Ops Manis dan Ops Indera.

Setiap kali bertempur, pasti ada pengganas komunis yang tumbang di tangannya, jika tidak mati, paling kurang cedera parah.

“Untuk rekod peribadi, saya sudah menembak mati enam pengganas, bersama rakan seperjuangan, lebih 20 komunis berjaya ditembak, itu tak termasuk tugas lain seperti rampasan senjata serta 'food drump' milik pengganas.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana sepanjang tempoh perkhidmatan ini, saya tidak pernah cedera walaupun nyaris terkena jerangkap samar dipasang komunis,” katanya.

Apot yang kini menyandang Sarjan Mejar setelah bersara pada 2004 lalu mengakui, sebagai anggota komando, ketajaman mata, minda dan gerak hati yang bersih diperlukan dalam setiap misi pertempuran terutama peperangan ala gerila.

“Sebelum bertempur perlu ada perancangan rapi, biasanya berdasarkan risikan rahsia, waktu saya dahulu, kita berjaya jejak dan bunuh komunis semasa serangan hendap,” katanya.

Pernah menyertai pelbagai misi, lokasi hutan belantara yang menjadi sasaran komunis seperti di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak merupakan kawasan yang pernah diterokai Apot bersama pasukannya.

Hingga ada ketikanya, dia terlebuh dahulu mendahului rakan lain bagi memastikan jejak komunis tidak terlepas.

‘’Duduk di hutan tak sama dengan di luar, komunis banyak tipu helah, sebagai komando kita perlu cekap kesan jejak mereka dan tahu taktik penyamaran yang dibuat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUA MUSANG - Masalah sosial dalam kalangan belia Orang Asli kini amat membimbangkan khususnya dalam isu pengambilan minuman keras.
  • KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mahu masyarakat Orang Asli menjadi pemberi maklumat mengenai kegiatan memindahkan kayu balak dan hasil hutan tanpa lesen.
  • JELEBU - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah melaksanakan Program Jalinan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli Daerah Jelebu di Kampung Ulu Kemin, Kuala Klawang, di sini, baru-baru ini.
  • SEREMBAN - Setiap belia dan beliawanis dari masyarakat Orang Asli boleh menjadi individu yang berjaya jika ada usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan.
  • KUANTAN - Lebih 700 masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Mas menikmati bekalan air bersih selepas saluran paip dari Bukit Serai sepanjang lima kilometer (km) siap dibina minggu lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.