• Mortadza (dua, kiri) sempat memberi amanat kepada pelatih yang menjalani Kursus Asas Konstabel Orang Asli di Pusat Latihan PGA, semalam. Mortadza (dua, kiri) sempat memberi amanat kepada pelatih yang menjalani Kursus Asas Konstabel Orang Asli di Pusat Latihan PGA, semalam.
1 /

HULU KINTA – Seramai 111 pelatih dalam kalangan Orang Asli telah menjalani Kursus Asas Konstabel Orang Asli siri 1/2013 selama empat bulan sebelum diserap dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene berkata, kursus itu memberi peluang kepada golongan muda Orang Asli berkhidmat kepada negara.

Menurutnya, Orang Asli terkenal dengan kelebihan sebagai penjejak hebat yang memberi kelebihan kepada PDRM untuk memantapkan pertahanan negara terutama di persempadanan.

“Dalam pasukan polis, kita mempunyai Batalion khas di Bidor dan Pengkalan Hulu yang menempatkan lebih 1,200 perjawatan bagi Orang Asli. Mereka mengikut saluran khas masuki PDRM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Mereka yang berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai kelonggaran khas dari segi fizikal iaitu ketinggian minimum 1.52 meter berbanding 1.7 meter bagi anggota biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada pelatih sempena Kursus Asas Konstabel Orang Asli siri 1/2013 di Mes Pegawai Kanan, Briged Utara PGA di sini, semalam.

Tambah beliau, pelatih Orang Asli juga akan menyertai Pasukan Gerakan Khas Komando 69 atau VAT 69 bagi membantu mengawal aktiviti penyeludupan dan pencegahan jenayah.

“Umpamanya Platun Senoi Praaq telah bertempur dengan komunis di kawasan Pos Gob Ulu Kelantan dan merampas senjata selain mematahkan pelbagai aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api.

“Kursus Asas Konstabel Orang Asli kali terakhir telah dilaksanakan pada tahun 2003 di Pusat latihan PGA melibatkan seramai 200 pelatih, antaranya terdiri daripada kaum Semai, Temuan dan Temiar," katanya.

Baru sehari kahwin

Keputusan diterima masuk ke Kursus Asas Konstabel Orang Asli menjadi kejayaan berganda buat seorang peserta yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan, kelmarin.

Rahi Raja Sulung, 20, berkata, momen manis majlis persandingannya yang masih dirasai hingga kini tidak menjadi penghalang untuk dia mempersiapkan diri bagi menghadapi latihan di Pusat Latihan Gerakan Am (PGA), di sini.

Mengakui terasa sayu kerana terpaksa meninggalkan isteri, Norasyikin Ariffin, 22 yang baru sehari dikahwini, Rahi berkata, semua itu terpaksa ditinggalkan demi memastikan masa depan keluarga lebih terjamin.

“Tipulah kalau saya kata tidak sedih. Tetapi ini soal masa depan, lagipun saya sudah lama menyimpan hasrat untuk masuk ke pasukan ini.

“Walaupun terpaksa berjauhan selama empat bulan, saya tetap gembira kerana isteri dan keluarga memberi sokongan penuh,” katanya.

Majlis perkahwinan anak muda dari suku kaum Temiar ini diadakan, Ahad lalu di Kampung Ber, Pos Hendru, Gua Musang, Kelantan sebelum bergegas mendaftar sebagai konstabel, semalam.

Menurutnya, sejak dari mula dia tidak berhasrat menunda tarikh perkahwinan dengan gadis yang dikenali sejak lima tahun lalu kerana telah lama merancang.

Rahi yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menyumbang khidmat terbaik dalam pasukan PGA.

Seorang lagi peserta, Rosli Mat Salim, 27, berkata, kegagalan tiga kali menempatkan diri ke dalam pasukan beruniform sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

Menurutnya, percubaan kali keempat menerusi PGA ternyata membuahkan hasil apabila diterima mengikuti Kursus Asas Konstabel Orang Asli siri 1/2013.

“Ini adalah impian saya sejak kecil. Walaupun pada mulanya saya kecewa sebab permohonan sering ditolak, tetapi disebabkan minat mendalam, saya ketepikan rasa terkilan dan terus mencuba,” katanya.

Rosli dari suku kaum Temuan berasal dari Temerloh, Pahang ini mempunyai cita-cita tinggi untuk memartabatkan jati diri masyarakat Orang Asli.

Bagi Ibnu Qayyum Awi Lebong, 25, pula, hasrat untuk menyambung tugas Allahyarham bapanya yang pernah berkhidmat dalam tentera menyebabkan anak kelapan dari 11 beradik ini nekad menyertai PGA.

“Sebagai anak lelaki, saya rasa terpanggil untuk menjadi penyambung kepimpinan ayah. Selain berkhidmat kepada rakyat, bidang ini dapat membentuk disiplin diri anak muda seperti saya,” katanya yang berasal dari suku kaum Temuan, Jelebu, Negeri Sembilan.