KUALA LIPIS - Ledakan pendidikan moden terarah kepada membentuk insan berketerampilan, berintelek, kreatif, inovatif dan membina sahsiah demi melahirkan pelajar yang bakal menerajui kepimpinan negara dan penjawat profesional pada masa akan datang.

Pendidikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) atau dikenali kindergarten lebih sinonim bermula pada peringkat usia kanak-kanak lima tahun yang mendominasi peluang memperoleh ilmu untuk menjana intelek dan kemahiran psikomotor.

Di mana sekalipun pendidikan Tabika dilaksanakan, usaha pedagogi pengajaran terarah kepada elemen permainan dan nyanyian antara yang dipercayai pakar boleh menarik minat insan tersebut terhadap ilmu secara formal.

Berasaskan metodologi itu, seramai 80 penuntut Tahun Dua Fakulti Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) Universiti Malaya, Kuala Lumpur berkampung di 27 rumah keluarga angkat masing-masing di Kampung Kuala Kechau, Lipis baru-baru ini.

Kumpulan penuntut PAKK diketuai pensyarah dan seorang pakar pendidikan kanak-kanak yang sering muncul di kaca televisyen, iaitu Profesor Madya Dr Mariani Md Nor.

Rombongan terdiri daripada ahli Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Malaya (PPAKKUM) melaksanakan modus operandi mentransformasikan kaedah (pedagogi) Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) awal kanak-kanak yang moden dengan memilih beberapa Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kawasan luar bandar negeri ini.

Untuk merealisasikan projek itu, ahli PPAKKUM turun padang selama tiga hari di Kampung Kuala Kechau, Lipis dalam usaha mentransformasikan wajah balai raya kampung itu untuk dijadikan Tabika bagi menempatkan 25 kanak-kanak.

Projek kemasyarakatan mahasiswa itu lebih dikenali sebagai Program Dekorasi Tabika Kemas Lipis melibatkan kerja menambahbaikkan dan menempatkan peralatan mengajar seperti carta, alat permainan intelek dan kemahiran psikomotor di dalam dan luar premis itu.

Kerja pengubahsuaian juga membabitkan aspek keceriaan apabila penuntut PAKK turut mengecat dinding balai raya dan melukis mural bertemakan alam haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda untuk keselesaan dan minat kanak-kanak belajar di Tabika itu.

Kerja gotong-royong turut dibantu keluarga angkat masing-masing yang juga penduduk Kuala Kechau diketuai Ketua Kampung Kuala Kechau, Hamizi Abdul Rahman.

Hadir sama pada hari terakhir program, iaitu di majlis perasmian Tabika Kemas yang baru ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Datuk Ir. Mohd Soffi Abdul Razak.

Mariani berkata, usaha PPAKKUM membaik pulih balai raya dijadikan Tabika Kemas adalah program menangani kebajikan kanak-kanak miskin luar bandar khususnya menajamkan intelek dan kemahiran psikomotor menerusi pendidikan Tabika.

“Projek ini sebahagian daripada pengisian kursus penuntut PPAK di bawah penyelarasan saya supaya dapat memperoleh kemahiran dan pengalaman serta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam bilik kuliah,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Mariani berkata, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan PPAKKUM, bersedia menawarkan khidmat dan membantu Tabika Kemas di luar bandar dan pedalaman negeri ini ke arah mempelbagaikan pedagogi P&P serta wujud suasana lebih kondusif dan ceria untuk keselesaan kanak-kanak.

Sementara itu, Pengarah Program Dekorasi Tabika Kemas Kuala Kechau, Mohd Huzaimi Raup, 21, berkata, projek yang julung kali dilaksanakan di negeri ini adalah aktiviti cukup signifikan kepada penuntut bidang PPAK sebelum bergelar guru Tabika.

“Program ini cukup mencabar kerana kami bekerja menyiapkan dekorasi dan keceriaan balai raya ini untuk dijadikan kelas Tabika mengambil masa dari pagi hingga ke tengah malam selama dua hari.

“Aktiviti ini dapat melestarikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada pensyarah khususnya membantu kanak-kanak miskin di kawasan luar bandar,” katanya.

Rakannya, Siti Amirah Ibrahim, 21, berkata, pengalaman cukup unik yang saya tempuhi adalah apabila terpaksa bersengkang mata hingga jauh malam bersama rakan dan keluarga angkat untuk menyiapkan dekorasi dan keceriaan Tabika Kemas ini.

“Budi bahasa dan kesanggupan menyertai gotong-royong dalam kalangan keluarga angkat di sini menyuntik semangat kami untuk menyiapkan tugas ini,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu membolehkannya menyimpan iltizam untuk menyertai projek yang sama di Tabika Kemas di kawasan pedalaman negeri ini pada masa akan datang.