• Bee Huat Bas Kelibat bas yang sinonim dengan warna rasmi negeri Pahang ini tidak dapat lagi dilihat di atas jalan raya bermula 31 Disember ini
1 /

KUANTAN - “Keputusan yang dibuat amat sukar, namun saya tiada jalan lain selain menutup syarikat ini walaupun berkemungkinan besar diisytiharkan muflis,” kata Pengurus Bee Huat Omnibus Company Sdn Bhd, Mohd Akmal Kong Abdullah, 43, yang akan menamatkan operasi syarikat basnya bermula 31 Disember depan.

Menurutnya, selepas 75 tahun menabur bakti, perkhidmatan bas henti-henti yang dimulakan datuknya, Kong Ah Kay sekitar 1937 terpaksa ditutup berikutan tekanan semasa sehingga syarikat tidak lagi mampu meneruskan legasi perniagaan tiga generasi keluarganya itu.

“Keputusan ini sudah muktamad, namun saya sangat berharap kerajaan mempertimbangkan pengambilalihan syarikat ini demi kelangsungan rezeki 46 pekerja memandangkan ada antara mereka sudah berkhidmat sejak 20 tahun lalu.

“Setidak-tidaknya saya mohon kepada kerajaan sejumlah pampasan supaya 40 peratus atau RM140,000 daripada faedah pampasan yang sebenar dapat dibayar kepada semua pekerja terlibat, selain melangsaikan hutang kira-kira RM4 juta yang dibuat atas nama peribadi untuk membangunkan syarikat ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Akmal berkata, jika tiada bantuan daripada pihak kerajaan, dia terpaksa menjual semua bas yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta untuk membayar pampasan pekerja dan faedah kepada beberapa pemegang saham.

“Saya bakal kehilangan segalanya termasuk tanah tapak pejabat di Batu 3, di sini, yang dicagarkan kepada bank untuk pinjaman sebelum ini, selain terpaksa menanggung hutang RM4 juta yang memungkinkan saya diisytiharkan muflis,” katanya.

Pendapatan merosot

MENURUTNYA, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada pekerjanya sejak 22 November lalu setelah pulangan syarikat menjunam 32 peratus berikutan kehilangan laluan Kuantan-Sungai Isap-Permatang Badak-Taman Tas yang diambil Rapid Kuantan sejak 1 Disember lalu.

“Kalau dahulu kos operasi RM1.89 sen per kilometer, namun sejak kebelakangan ini jumlah itu meningkat sehingga RM2.40, sedangkan jumlah penumpang dan hasil kutipan jatuh mendadak.

“Sebelum ini kami terpaksa berdepan kos yang amat tinggi termasuk kos baiki bas, alat ganti, bahan api, gaji dan upah pekerja. Perbelanjaan dikeluarkan jauh lebih tinggi daripada pendapatan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata, sejak 2009, dia terpaksa bertahan walaupun berdepan kenaikan bahan api dan walaupun ada subsidi kerajaan untuk diesel, syarikatnya tidak mampu menampung kenaikan kos ekoran harga alat ganti termasuk tayar yang sentiasa meningkat.

“Pendapatan terus menurun sehingga memaksa saya membuat pinjaman bank atas nama peribadi untuk memastikan operasi syarikat terus bertahan,” katanya.

Menurutnya, sebelum 2008, Bee Huat Omnibus memiliki 40 bas, namun kini hanya tinggal 11 buah termasuk empat daripadanya masih mempunyai hutang bank.

“Kini hanya tinggal laluan Kuantan-Pekan, Kuantan Inderapura-Perkampungan Indera Sempurna, Kuantan-Penor dan Pekan Nenasi yang ada perkhidmatan bas ini hingga 31 Disember, manakala laluan Kuantan-Jerantut sudah ditutup.

“Saya difahamkan Rapid Kuantan juga akan meluaskan perkhidmatan ke laluan tersebut tidak lama lagi, jadi kami tiada pilihan selain berundur,” katanya.