KUANTAN - Atlet Berbasikal Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mohd Fakhrurrazi  Ishak meraih pingat perak dalam acara basikal  bagi kategori Individu (VIP) pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (Sukum) ke-43 baru-baru ini.

Walaupun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas kepada atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mohd Irwan Yusof tetap bersyukur dan berpuas hati  dengan  kemenangan itu.

Menurut Dr Mohd Fakhrurrazi , ia amat bermakna pada dirinya yang julung kali beraksi dalam acara  berbasikal di Kejohanan Sukum.

Kejayaan itu, katanya berkat usaha semua warga UMP yang banyak memberi sokongan kepada atlet universiti.

Justeru, beliau turut merakam penghargaan  terima kasih kepada jurulatih, Pusat Sukan UMP dan pihak  pengurusan tertinggi yang memberi kepercayaan untuk menyertai pertandingan ini.

“Sebenarnya saingan amat sengit  terutama daripada pelumba yang lebih pengalaman dan muda, namun saya sahut cabaran ini dengan tekad dan berani melakukan sehabis baik,” katanya yang juga Ketua Program Teknologi Kejuruteraan Pengurusan Insfrastuktur, Fakulti Teknologi Kejuruteraan UMP.

Dalam acara itu, pingat gangsa  dimenangi atlet Universiti  Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Mohd Shaffid Md Shariff.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan  Alumni), Datuk Prof  Dr Yusserrie Zainuddin.

Acara berbasikal disertai lebih 190 atlet universiti seluruh negara dengan  jarak perlumbaan 42 kilometer  bermula dari UMP Pekan.

Acara dibahagikan kepada  tiga kategori iaitu Lumba Individu (VIP), Lumba Individu (MTB - Senior dan Veteran) dan acara Ujian Masa Berpasukan (TTT).

Turut serta Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Datuk Prof Ts  Dr Shahrin Sahib  bagi Kategori Lumba Individu (VIP).

Sementara itu bagi kategori Lumba individu MTB (Senior), pingat emas diraih Saiful Nizwan Mhd Saleh dari  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), perak dan gangsa pula dimenangi Muhammad Adhwa Amzar Sagnal dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Muhammad Firdaus Osman dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Manakala kategori Lumba Individu MTB (Veteran), pingat emas dan perak  menjadi milik Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi atlet,  Abdul Halim Che Aat dan Mohd Kamil Ashar manakala  pingat gangsa dimenangi  Ahmad Ritaudin Hamzah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bagi kategori Ujian Masa Berpasukan, pingat emas dimenangi pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), pingat perak diraih  UTeM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  membawa pulang pingat gangsa.

Kejohanan Sukum menyaksikan 2,600 atlet dan pengurus pasukan membabitkan 21 kontingen universiti awam berkampung di UMP sebagai tuan rumah.

Sebanyak  17 acara sukan dipertandingkan termasuk futsal, basikal, olahraga, badminton, sepak takraw dan catur.

Acara lain ialah tenis, ping pong, lawn bowls, memanah, petanque, temping boling, golf, bola sepak, memancing, bola tampar dan bola jaring.