BENTONG - Perpecahan dan perselisihan faham sesama sendiri boleh melemahkan kedudukan umat Islam serta kestabilan di daerah ini.

Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad berkata, perpecahan dalam kalangan masyarakat di sesetengah negara Islam harus dijadikan pengajaran untuk terus memastikan keharmonian dan perpaduan ummah dikekalkan.

Menurutnya, penyatuan dan perpaduan ummah perlu diutamakan bagi mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat kerana umat Islam kini berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Kita perlu menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan Baginda Nabi Muhammad SAW dan sahabat dalam meletakkan syiar Islam sehingga mencapai kecemerlangan serta kegemilangan dalam menyebarkan ajaran Islam.

“Sempena sambutan Maulidur Rasul, masyarakat perlu terus berusaha membina dan membangunkan masyarakat dengan kekuatan ilmu serta iman dan juga takwa kepada ALLAH,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Bentong, di sini semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Mohammad Shahid Ismail dan Qadhi Bentong, Mohd Rasmawi Harun.

Azhar berkata, selain perpaduan sesama umat Islam, ikatan persaudaraan dengan orang bukan Islam juga adalah penting dan harus dipelihara kerana mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam di daerah ini mencontohi hubungan baik Rasulullah SAW dengan masyarakat bukan Islam menerusi jaminan kebersamaan hak dan keharmonian pergaulan melalui Piagam Madinah yang dizahirkan baginda demi perpaduan hidup pelbagai kabilah dan agama.

“Bentong adalah daerah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang menjadi contoh sebenar mengenai keharmonian dan perpaduan.

“Sebagai umat Islam, kita seharusnya menyambung perjuangan legasi Rasulullah dalam berdakwah yang dapat meningkatkan keharmonian dan sifat saling menghormati antara masyarakat majmuk di daerah ini sekali gus menyingkirkan salah faham terhadap Islam.

“Ketua-ketua masyarakat, agensi kerajaan dan NGO boleh menjadi penggerak utama kepada masyarakat Islam dalam mendampingi golongan bukan Islam supaya mereka dapat menerima mesej Islam sebenar,” katanya.

Beliau berharap masyarakat di daerah ini terus mempertahan keharmonian dengan menjauhi prasangka dan hasad dengki, selain tidak mudah terpengaruh dengan segala fitnah yang memecahbelahkan ummah.

Sebanyak 20 kontinjen terlibat dan lebih 500 peserta pada perarakan yang terdiri daripada agensi kerajaan, NGO dan pasukan keselamatan. Johan Perarakan dimenangi kontinjen Penjara Bentong.