PEKAN - Selepas namanya diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (Harapan)yang bertanding di Parlimen Pekan, konsultan bola membuat kejutan menarik diri bertanding di parlimen tersebut bagi PRU14.

Dengan pengunduran tersebut, Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi, Zahid Mat Arip akan menggantikan beliau bertanding di parlimen tersebut.

Ketua Bersatu Bahagian Indera Mahkota, Kamarul Ariffin Mohd Shahar, 45 menegaskan keputusan tersebut adalah tindakan terbaiknya demi kepentingan parti.

Menurutnya, ia juga ujian kesetiaannya terhadap parti terbabit.

“Hari ini merupakan hari yang paling bermakna buat diri saya sebagai seorang ahli politik, bidang yang telah diceburi lebih dari berdekad lamanya.

“Kalau sebelum ini, ramai ahli politik yang bercakap soal pengorbanan, soal kesetiaan, soal ketaatan, hari ini, Allah berikan saya ujian, untuk saya buktikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pertemuan empat mata secara peribadi bersama Pengerusi Harapan ,Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi.

“Beliau (Tun) telah menerangkan dan menjelaskan secara terperinci berkenaan strategi kami di Parlimen Pekan.

“Berdasarkan apa yang telah diterangkan oleh Tun, ternyata kali ini Parlimen Pekan bakal menerima kejutan yang akan mengubah senario landskap politik Malaysia.

“Secara terhormat, Tun meminta saya melakukan pengorbanan yang mungkin paling ditakuti oleh ramai ahli politik untuk menarik diri daripada bertanding dan memberi laluan kepada orang lain.

“Saya tidak bersedih, jauh lagi berkecil hati. Apa yang diminta oleh Tun ini adalah perkara biasa dalam dunia politik, dan semestinya dalam politik, kepentingan parti mendahului segala-galanya.

“Taat saya, kasih saya, hormat saya kepada Tun adalah sangat tinggi dan kerana itu jugalah, saya bersetuju untuk melakukan perubahan ini,” katanya dalam kenyataan media.

Tegasnya walaupun tidak menjadi calon beliau berjanji, tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini dan akan terus menzahirkan kesetiaannya bersama perjuangan Tun demi perjuangan parti.

Sementara itu,Kamarul juga mahu seluruh jentera Harapan membabitkan komponen parti sama ada PKR, DAP dan Amanah terus mengukuhkan jentera dan bersatu hati dalam meraih kemenangan di parlimen itu.

“Selamat maju jaya buat sahabat Zahid, ayuh kita mara dan teruskan perjuangan demi bangsa, agama dan Negara

“Dan buat keluarga, sahabat dan juga para penyokong, jutaan terima kasih atas sokongan yang diberikan, yang benar-benar memaknakan sebuah kesetiaan dan kecintaan.

Kepada Allah, saya berserah, Dia Maha Mengetahui segalanya. In Shaa Allah,”katanya lagi.

Sebelum ini namanya diumumkan oleh Bersatu Pahang untuk bertanding di parlimen dalam majlis pengumuman calon Bersatu di negeri ini pada 15 April lalu.