KUALA ROMPIN - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) telah menggerakkan kempen bagi seluruh negeri itu dengan slogan 'Hidup berkat tanpa maksiat'.

Ketua Penolong Pengarahnya, Adnan Mamat, berkata, ia bertujuan menyebarkan kepada masyarakat mengenai keburukan perbuatan maksiat di samping mencegahnya daripada berlaku.

Menurutnya, keberkatan merupakan suatu yang sangat luas untuk difahami dan keluarga yang mahukannya perlu patuh kepada syariat serta menghindari maksiat dalam keluarga.

"Dalam aspek masyarakat juga sama, sekiranya mahu melahirkan masyarakat yang sejahtera, semua pihak perlu memainkan peranan dengan menjauhi maksiat.

"Pemasangan papan tanda ini juga menjadi sebagai saluran bagi pihak kami menjalankan pemantauan di tempat-tempat awam yang berisiko," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu membuat tinjauan pemasangan papan tanda jauhi maksiat di beberapa lokasi, di sini, semalam yang turut dihadiri anggota penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin dan wakil Majlis Daerah Rompin (MDR), di sini, hari ini.

Adnan berkata, pada tahun lalu, sebanyak kira-kira 1,300 kes di bawah Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dari seluruh Pahang telah dicatatkan melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

Beliau berkata, usaha menaikkan papan tanda itu juga bertujuan mahu melahirkan masyarakat lebih peka mengelak mereka melakukan kesalahan itu di tempat awam selain melaporkan sekiranya tahu atau melihatnya.

"Antara perkara yang diberi perhatian adalah minum minuman yang memabukkan, berkhalwat dan memakai pakaian menjolok mata atau kurang sopan.

"Bagaimana pun, di beberapa tempat di daerah dilaporkan ada yang telah dicabut, kita tak pasti apa masalah mereka namun kita harap di tempat lain yang lama atau baru dipasang tak berlaku kejadian seperti ini," katanya.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Ibadat bulan Ramadan yang sepatutnya dipenuhi dengan amalan kerohanian dicemari dengan kegiatan maksiat dan tidak bermoral apabila dua lokasi berasingan di Gua Musang dikesan menyediakan khidmat layanan Pegawai Khidmat Pelanggan (GRO).
  • KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan terus memantau hotel-hotel yang menyajikan bufet Ramadan tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.