JERANTUT - Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) Pahang menyasarkan lebih ramai guru dan belia menyertai Kursus Kepimpinan Manik Kayu (Woodbadge).

Terbaharu, seramai 29 guru daerah ini menerima Sijil Manik Kayu Peringkat Pertama anjuran PPM Pahang dan PPM Jerantut, di tapak perkhemahan Sekolah Kebangsaan Temin, di sini.

Kursus berkenaan merupakan latihan asas kepimpinan dan pengurusan kepengakapan dalam kalangan guru pengakap sekolah rendah dan sekolah menengah daerah ini berasaskan modul Latihan Kepimpinan Pengakap Malaysia.

Kursus selama tiga hari dua malam itu dikendalikan 10 ahli Pasukan Latihan Pengakap PPM Pahang dan Jerantut sebagai fasilitator yang diketuai oleh Jurulatih Pasukan Latihan PPM negeri, Efendi Arifin.   

Menurut Efendi, program latihan itu bagi memberi pendedahan aspek pengurusan kumpulan Pengakap Kanak-kanak (PKK) sekolah rendah dan Pengakap Muda (PM) sekolah menengah bagi membolehkan guru berkenaan layak diberi sijil Manik Kayu Peringkat Pertama.

“Latihan kepengakapan ini menjurus kepada penjanaan kepimpinan serta pengurusan dalam pasukan PKK dan PM di sekolah masing-masing serta mengadakan latihan kemahiran dan penarafan lencana kepandaian berasaskan Skim Latihan Pengakap Malaysia.

“Mereka yang diiktiraf menerima sijil manik kayu berkenaan perlu laksanakan aktiviti pengakap di sekolah  menerusi perjumpaan kokurikulum mingguan, perkhemahan dan kegiatan masyarakat,” katanya.

Majlis penutupan kursus telah pun disempurnakan oleh Pesuruhjaya Pengakap Pahang, Datuk Lias Mohd Noor.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pengakap Jerantut, Hamzan @ Mazelan Ismail.

Sementara itu, Lias berkata, PPM Pahang sedang menggiatkan usaha melatih lebih ramai guru dan belia terbabit sepenuhnya dalam kepimpinan di peringkat kumpulan dan daerah selari dengan landasan transformasi pembangunan modal insan.

“Kursus kepimpinan pengakap perlu disertai oleh guru sekolah rendah dan sekolah menengah yang bergiat dalam unit beruniform pengakap bagi menajamkan pelbagai aspek kemahiran pengurusan berasaskan silibus Skim Latihan Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan anugerah tertinggi, iaitu Pengakap Raja,” katanya lepada media ketika ditemui di sini.

Katanya, kursus berkenaan merupakan latihan untuk golongan dewasa bagi membolehkan mereka memperoleh pengiktirafan Sijil Manik Kayu sebagai seorang pemimpin kumpulan di sekolah dan kemudiannya mengikuti kursus lanjutan sebagai penolong jurulatih dan jurulatih kebangsaan.

“Usaha yang dilaksanakan Pasukan Latihan PPM negeri ini menepati hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar berakhlak, jati diri, berilmu, berkemahiran (ikhtiar hidup), taat kepada Tuhan, Raja, pemimpin dan negara sekali gus wacana ke arah Transformasi Nasional 2050,” katanya.    

Guru Pengakap Sekolah Kebangsaan Durian Hijau, Nur Sharafina Yahaya, 26, berkata, dia teruja setelah mengetahui ruang lingkup latihan kepimpinan pengakap yang tersusun dan mencabar sepanjang kursus itu.

“Pengetahuan tatacara memimpin kumpulan pengakap sekolah dan selok-belok kemahiran bantu menjana latihan kepengakapan dalam kalangan murid dan memenuhi aspirasi bidang kokurikulum di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Kosong dan terbiar, itulah yang terjadi kepada satu tapak perkhemahan yang cukup popular dalam kalangan ahli Pengakap di daerah ini satu ketika dahulu, sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an.
  • KUANTAN - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah Jambori Pengakap Asean yang dijangka bakal diadakan pada tahun hadapan.
  • IPOH - Lebih 7,000 pengakap dari dalam dan luar negara akan berkumpul di Pantai Peranginan Teluk Batik, Lumut sempena Jambori Antarabangsa Pengakap Negeri Perak 2014 yang akan berlangsung selama seminggu bermula 24 November ini.
  • ALOR SETAR - - Demi mengeratkan lagi hubungan di antara Malaysia dan Thailand, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan usaha sama Kementerian Pelajaran Thailand bakal mengadakan Jambori Pengakap Sempadan Malaysia-Thailand 2013.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.