TAMPIN - Penduduk di Taman Suria di sini, dan berdekatan kesal apabila ada penduduk menternak ayam di taman perumahan berkenaan.

Orang awam yang enggan dikenali berkata, masalah itu sebelum ini sudah diketengahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan dua bulan lalu, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Menurutnya, aktiviti menternak di kawasan perumahan adalah tidak sesuai serta menyalahi peraturan kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan penduduk, selain bau busuk.

“Jadi saya harap pihak bertanggungjawab dapat memantau masalah ini lebih-lebih lagi kini sudah ada hampir 1,000 ekor anak ayam yang diternak di sini, sehingga mengundang masalah lalat pula.

“Sudahlah kita terpaksa hidu bau busuk, kini kami penduduk terpaksa berhadapan dengan masalah lalat serta risiko kesihatan terjejas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ujarnya, dia memuji sikap pengusaha berkenaan menternak ayam, namun biarlah lokasinya bersesuaian serta bukan di dalam kawasan taman perumahan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Mohamed Roduan Ujang ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat aduan itu bagi keselesaan penduduk taman perumahan berkenaan.

Katanya, tindakan segelintir individu menternak binatang ternakan sama ada di belakang atau di depan rumah di premis taman perumahan boleh menimbulkan rasa kurang selesa penduduk lain.

“Oleh itu, kita akan ambil tindakan berhubung kes ini dan berharap penduduk taman lain tidak akan melakukan kesalahan sama, iaitu membela binatang ternakan kerana boleh dikenakan tindakan kompaun serta pembersihan,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNGUN - Bau busuk di pesisir pantai Paka, Kampung Cacar di sini sejak semalam terus menjadi tanda tanya apabila penduduk menyangkakan ia datang daripada bau mayat.
  • SEGAMAT - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memberi tempoh 30 hari kepada sebuah kilang memproses getah beku di pekan Buloh Kasap, di sini, untuk mengatasi masalah bau busuk yang disebabkan oleh kilang berkenaan.
  • KUALA KRAI - Pengguna dinasihatkan menghentikan menyebar ayam yang dijual di salah sebuah pasaraya di negeri ini tidak disembelih seperti tular di laman sosial sejak kebelakangan ini.
  • SUNGAI BULOH - Penduduk berhampiran kawasan perindustrian Kampung Baru Sungai Buloh di sini berdepan bau busuk pembakaran getah dari sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai yang beroperasi sejak Jun tahun lepas di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.