LINGGI – Sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) untuk kemudahan orang ramai akan dibina di pekan Linggi membabitkan keluasan kawasan kira-kira 1.2 hektar.

Adun Linggi, Abd Rahman Mohd Redza berkata, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah meluluskan pembinaan RTC tersebut di bawah Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11).

"Mengikut perancangan pembinaan RTC di bekas tapak perhentian bas Linggi sehingga ke kawasan pasar ini membabitkan dua fasa dan fasa pertama akan dimulakan dalam tahun ini juga melibatkan kerja-kerja meratakan kawasan tapak perhentian bas ini.

“Sementara fasa ke dua pula akan membabitkan proses mengenal pasti reka bentuk bangunan RTC sebelum kerja-kerja selanjutnya dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Program Sesi Mendengar Dan Mesra Rakyat Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Bersama Penduduk Rumah Rakyat Pengkalan Durian yang turut dihadiri Setiausaha MPPD, Ahmad Hashim Bakar, kelmarin.

Abd Rahman berkata, RTC adalah antara bentuk pembangunan ditunggu-tunggu masyarakat setempat memandangkan Linggi merupakan kawasan luar bandar yang masih memerlukan pembangunan mampan.

“Kita sangat positif menerima pembangunan ini dan berharap ia akan dapat merancakkan lagi potensi Linggi sebagai lokasi pelancongan sekali gus mendorong peningkatan ekonomi penduduk.

“Dan pastinya, RTC yang membawa konsep satu hentian pelbagai perkhidmatan akan memberi manfaat besar kepada penduduk memandangkan Linggi adalah kawasan luar bandar dan agak jauh untuk penduduk keluar berurusan dengan agensi kerajaan yang terletak di kawasan bandar," katanya.

Menurutnya, kemudahan termasuk perkhidmatan bank itu turut memberi manfaat kepada penduduk kawasan sekitar Linggi seperti Rembau, Rantau dan Lubok China.

“Linggi adalah antara pintu masuk ke Port Dickson dan pastinya kewujudan RTC di sini akan memberi manfaat yang begitu banyak kepada orang ramai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Hashim memberitahu, Program Sesi Mendengar Dan Mesra Rakyat MPPD Bersama Penduduk Rumah Rakyat Pengkalan Durian adalah program mesra rakyat yang paling berjaya dan mendapat sokongan ramai penduduk

“Melalui program ini, MPPD dan juga agensi serta jabatan kerajaan lain boleh mengetahui dan mendapatkan maklum balas daripada penduduk berkenaan perkhidmatan yang telah disediakan.

“Selain sesi mendengar, sesi lawatan ke lokasi yang diadukan penduduk turut dilaksanakan sebelum tindakkan sewajarnya diambil,” katanya.

Selain sesi mendengar, turut diadakan adalah acara sukaneka, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan pameran daripada agensi kerajaan dan swasta.