SEREMBAN - Galeri Diraja Tuanku Ja’afar yang terletak di Jalan Taman Bunga, di sini, bakal dibuka secara rasmi oleh Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin, Ahad ini.

Kuratornya, Nor Hazwani Hembali berkata, galeri berkenaan diilhamkan Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman ketika menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 yang memerintah negeri ini selama 42 tahun.

Beliau berkata, galeri tiga tingkat itu banyak menceritakan perjalanan kisah hidup baginda yang akan boleh dikongsi bersama rakyat.

“Selain pameran, galeri ini akan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan untuk menjadi pusat komuniti yang bermanfaat kepada orang ramai.

“"Strategi-strategi ini akan menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara serta memberi nafas baru kepada industri permuziuman,” katanya ketika ditemui pada program pratonton Galeri Diraja Tuanku Ja’afar bersama media, di sini, semalam.

Turut serta, Datuk Tuan Ibrahim Tengku Abdullah dan Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Muhammad Asyraf Shamsuddin.

Nor Hazwani berkata, antara kelainan yang terdapat di galeri berkenaan ialah kemudahan kios interaktif dan aplikasi audio mudah alih.

Menurutnya, kemudahan interaktif ini memberi pengalaman menarik buat pengunjung yang gemar mendalami informasi secara digital.

Pembukaan galeri itu adalah satu usaha sama antara banyak pihak terutama anakanda-anakanda Almarhum Tuanku Ja’afar, Kerajaan Negeri Sembilan, bekas Menteri Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.