KOTA BHARU - Kelab ‘Magical Tanah Merah Toastmaster’ kini berusaha membantu masyarakat di negeri ini dengan membina keyakinan lebih berkualiti untuk berkomunikasi di hadapan khalayak dalam bahasa Inggeris.

Presidennya, Dr Aziah Ismail berkata, kelab berkenaan ditubuhkan sejak Julai 2010, kini mempunyai kira-kira 24 ahli yang membolehkan mereka fasih serta mahir dalam pengucapan awam menggunakan modul dari Amerika Syarikat.

“Belum ramai yang menyedari kewujudan kelab ini kerana kami bergerak secara digital dan kini, kami berasakan perlu untuk ahli kelab menganjurkan kursus atau kem dalam usaha membantu orang ramai di negeri ini termasuk pelajar berkomunikasi.

“Setakat ini, hanya pengantar bahasa Inggeris sahaja ada untuk pengucapan awam, tetapi selepas ini, kami berhasrat mengadakannya secara alih bahasa iaitu bahasa Melayu dan Mandarin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ahli Kelab Toastmaster, di sini, hari ini.

Turut hadir, ahli jawatankuasa dan ahli-ahlinya, Syed Ahmad Shauffi Tengku Ismail, Raja Noraimy Yasmin Raja Anoro, Sok Ying Ang, Yeap Hing Chai, Cheng Hoe Tan dan Min Fei Lee.

Dr Aziah berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) lain supaya mengenali dan mengetahui peranan Toastmaster di negeri, malah kelab berkenaan mempunyai kekuatan hubungan erat biarpun dalam sebulan bertemu dua kali.

“Kami mengadakan mesyuarat, sama ada di Tanah Merah atau di Kota Bharu, malah menerusi penggunaan modul ‘pathway’, kami kini cuba mengadakan kolaborasi dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membolehkan penuntut turut menyertainya.

“Kami ada program pengucapan kraf bagi mempromosikan kelab ini, yang mana, manual ini adalah dari Amerika Syarikat dengan silibus khas.

“Mereka yang berusia 18 tahun ke atas hanya perlu membuat bayaran 45 USD (kira-kira RM180) untuk enam bulan sekali dan pendaftaran ini hendaklah diperbaharui mengikut kadar semasa pertukaran wang asing,” katanya.

Katanya, program berkenaan sangat memberi manfaat kerana mereka yang mengikutinya boleh membina keyakinan diri, sekaligus membentuk kemahiran menjadi pemimpin menerusi teknik nada suara dan sebutan yang lebih memberi impak.