RANTAU PANJANG - “Saya ikhlas, bukan berlakon atau menunjuk-nunjuk,” komen Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff selepas gambarnya mengharung banjir hampir 1.5 meter sambil menjunjung beras tular di laman sosial.

Zailah berkata, penduduk di Rantau Panjang lebih mengenalinya malah menyedari tindak-tanduknya dilakukan demi kebajikan rakyat.

Menurutnya, dia tiada masa berlakon kerana perlu membantu menyalurkan bekalan makanan kepada lebih 6,000 mangsa banjir di seluruh Parlimen sama ada di pusat pemindahan sementara (PPS) atau rumah yang terkepung.

“Saya pelik, rupanya mereka ada banyak masa terluang mengkritik tugas saya, sedangkan jika semua pihak bekerjasama, akan meringankan beban rakyat yang terjejas banjir kali ini.  

“Saya juga yakin penduduk Rantau Panjang lebih mengenali saya dan tahu selok-belok kawasan banjir sebab tak semua kawasan boleh dilalui dengan kenderaan berat atau bot,” katanya.

Disebabkan rumah mangsa banjir dibina terlalu rapat serta lorong sempit maka katanya, beliau bersama sukarelawan terpaksa mengharung banjir sambil membawa bekalan makanan.

Malah katanya, bekalan makanan seperti beras, tepung, dan lampin pakai buang rosak sekiranya mencecah banjir.

"Antara kampung yang terkepung adalah Kubang Chenok, Telaga Mas, Degong,  Kampung Siam, Padang Licin, Bawah Lembah, Banggol Kulim dan Tasek Bakong.

"Saya juga harap penduduk yang belum menerima bantuan bersabar kerana bantuan akan menyusul dalam masa terdekat.

“Hari ini saja, saya dah beri 700 pek beras dan keperluan lain kepada mangsa di Banggol Kulim dan setiap agihan turut disertai Adun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).