GUA MUSANG - Rata-rata penduduk di kawasan Felda Chiku, Aring, Kesedar Paloh, Chalil, Lebir, di sini, melahirkan keluhan dengan masalah laluan ke stesen minyak yang dipenuhi lopak.

Bukan sebulan dua, malah masalah jalan berlopak yang teruk di kawasan berkenaan menyukarkan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

Bagi wakil penduduk di Felda Aring, Ruzelan Romli, masalah ini sudah lama berlarutan dan hanya dibiar tanpa ada sebarang kerja-kerja penurapan.

"Di kawasan ini, kita hanya memiliki dua buah stesen minyak sahaja. Dengan keadaan jalan yang teruk sebegitu, menyukarkan pengguna untuk mengisi minyak.

"Malah, di musim tengkujuh ini, lopak berkenaan sentiasa dipenuhi air hujan menyebabkan ia kelihatan sangat teruk.

"Bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah ia memberi gambaran yang kurang elok di kawasan berkenaan kerana ia terletak di laluan utama Gua Musang-Kuala Krai," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Tanpa Mukim Bandar Chiku, Che Amat Said, berkata, pengusaha stesen berkenaan perlu lebih peka.

Katanya, bukan sahaja memberi impak buruk kepada kawasan berkenaan malah boleh menyebabkan kerugian apabila pengguna mula menolak untuk menggunakan perkhidmatan di situ.

"Sudah lama masalah itu berlarutan malah makin teruk. Di daerah ini, saya rasa stesen berkenaan paling teruk dan memerlukan tindakan sewajarnya," katanya lagi.