TANAH MERAH - Seorang remaja bukan sahaja terpaksa menghabiskan masanya di atas katil malah kehidupannya tidak seperti rakan seusianya apabila hanya mampu terlantar selepas terlibat dalam kemalangan sejak tiga tahun lalu.

Mohd Amier Firdaus, 18, tidak mampu bergerak dan segala keperluannya diuruskan oleh keluarga terutama ibunya yang sentiasa mengawasinya dan menjaganya di sisi.

Ibunya, Raja Rasiah Raja Ibrahim berkata, anak kedua dari empat beradik itu hanya bergantung pada susu khas setiap empat jam sekali dan tidak boleh makan makanan lain.

"Angah (Mohd Amier Firdaus) perlu diberi susu khas melalui saluran tiub dan hanya itu makanannya setiap hari. Lagipun dia tidak boleh makan makanan keras kerana tidak mampu mengunyah dan menelan dengan baik disebabkan keadaannya itu.

"Buat masa ini, saya hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 350 untuk perbelanjaan susu, lampin pakai buang dan keperluan lain namun tidak mencukupi kerana perbelanjaan sebulan kesemuanya lebih RM 1,000,"katanya.

Raja Rasiah berkata ekoran keadaan anaknya itu, dia yang sebelum ini berniaga kedai makan terpaksa berhenti berniaga dan hanya mengambil upah membuat kuih muih termasuk mengambil tempahan membuat roti jala dan ketupat daun palas sempena Aidilfitri lalu.

"Buat masa ini, hanya inilah sumber pendapatan kami sekeluarga memandangkan suami, Mohd Hijazi Ismail, 55, juga yang sebelum ini membantu saya berniaga kini tidak mampu bekerja kerana mengalami masalah kesihatan.

"Apa yang saya harapkan kini, dapat menyiapkan gerai sementara di hadapan kediaman untuk berniaga dan dapat memohon bantuan untuk modal,"katanya.

Menurut Raja Rasiah, ekoran masalah kewangannya itu, dia juga tidak mampu menyediakan wang belanja dua anaknya  yang masih bersekolah di tingkatan empat dan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2.

"Anak sulung saya juga terpaksa berhenti belajar di kolej kerana kekangan kewangan.

"Harapan saya supaya ada pihak yang dapat membantu meringankan beban yang ditanggung,"katanya.

Sebarang bantuan, orang ramai boleh salurkan bantuan melalui akaun bank Islam di nombor akauan 03054020655976 atas nama Raja Rasiah Raja Ibrahim.