• Ulat-bungkus-yang-berjaya-ditangkap-setelah-semburan-dilakukan-di-perangkap-'Foromone-Asli'
1 /

YONG PENG – Masalah tanaman diserang ulat bungkus yang menghantui pemilik ladang dan pengusaha tanaman kelapa sawit kecil-kecilan dekat sini sejak September 2011 dijangka selesai tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng, Lim Kee Moi berkata, aduan mengenai masalah yang menimpa pemilik ladang sekitar Mukim Chaah Baru iaitu di Kampung Haji Mian, Sungai Lenek dan Kampung Sawah Padi itu telah dibuat beberapa bulan sebelum September 2011, tetapi ketika itu serangan dihadapi belum serius.

Namun katanya, semakin lama ianya semakin serius sehingga mengakibatkan beberapa kawasan tanaman kelapa sawit melibatkan lebih 300 pemiliknya seluas 3,100 hektar itu terjejas akibat serangan ulat bungkus tersebut.

“Ulat bungkus ini akan ma­kan daun yang merupakan an­tara punca pokok tanaman tidak dapat mengeluarkan hasil yang baik sebagaimana yang telah ditetapkan untuk diproses.

“Pemilik ladang dan pengusaha tanaman kelapa sawit ini terpaksa tanggung kerugian dengan hampir 40 peratus pendapatan mereka berkurangan akibat buah yang rosak dan tidak berkualiti

“Susulan itu pihak kami ambil inisiatif bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan untuk membantu menye­lesaikan masalah yang di­­hadapi seperti penyemburan bakteria bermanfaat dan pemasangan Perangkap Fe­romone Asli,” katanya semasa lawatan dan kerja-kerja penyemburan berkenaan diadakan di ladang terlibat.

Hadir sama Ketua Unit Perlindungan Tanaman (Ba­hagian Penyelidikan & Bi­o­lo­gikal), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); Dr Siti Ramlah Ahmad Ali dan Ketua Pegawai Operasi Systematic Aviation; Kepten Ismail Ashaari

Kee Moi yang juga Pen­gerusi Jawatankuasa Tindakan Mengatasi Masalah Ulat Bung­kus berkata, terdahulu langkah awal yang pihaknya laksanakan ialah menyenaraikan nama pemilik dan pengusaha ladang serta tanaman kelapa sawit yang terlibat dengan serangan terbabit.

Katanya, penyemburan bakteria bermanfaat berkenaan akan dilakukan oleh Systematic Aviation melalui udara dengan menggunakan kapal terbang untuk menghapuskan ulat bungkus itu.

“Sementara itu perangkap Foromone Asli ini pula dipasang, di mana ia mengan­dungi hormon ulat bungkus betina, yang akan menarik minat serta memerangkap ulat bungkus jantan dilaksanakan selepas semburan dilakukan.

“Selain itu, penanaman pokok Tunera dan Akasia juga dilaksanakan yang mana kedua-dua pokok berkenaan mengandungi ‘predator’ untuk memakan baki ulat bungkus terbabit.

“Dijangkakan setelah sem­buran bakteria bermanfaat yang dianggarkan menelan belanja RM400,000 itu dilaksanakan, sehingga 80 peratus kebanjiran ulat bungkus ini dapat dikawal dan selebihnya dimusnahkan dengan penanaman dua jenis pokok berkenaan juga
pemasangan perangkan Foromone Asli secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengusaha ladang kelapa sawit tersebut, Teo Sat Teck, 70, berkata, selama beberapa bulan ini dia terpaksa menanggung kerugian kerana hampir separuh pendapatannya hilang.

Katanya, dia berharap dengan tindakan yang dilakukan ini dapat menghalang pembiakan ulat bungkus terbabit dan seterusnya dapat mengembalikan hasil kelapa sawit yang bermutu seperti sebelumnya.

“Saya dan seluruh pemilik kebun kelapa sawit di sini mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan dan Adun Yong Peng kerana komited dalam melaksanakan tugas serta sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.

“Diharapkan selepas ini tiada lagi ancaman ulat bungkus, pihak MPOB juga telah ajar kami cara untuk membuat perangkap, selain tanam pokok yang mempunyai ‘predator’ untuk membunuh ulat bungkus itu,” katanya.

Sinar Harian pada 13 September 2011 pernah menyiarkan masalah dihadapi peladang kelapa sawit dekat sini yang mengalami kerugian selepas buah dihasilkan tidak mencapai kualiti ditetapkan akibat serangan ulat bungkus.

Pada 12 Januari lalu, Sinar Harian sekali lagi menyiarkan isu berkaitan iaitu mengenai Keputusan Mesyuarat Tin­da­kan Mengatasi Masalah Ulat Bungkus yang bertindak melaksanakan penyemburan bak­teria bermanfaat bermula 16 hingga 20 Januari 2012.