• Tragedi letupan kuari Letupan dari sebuah kuari menyebabkan batu-batu besar berterbangan hingga merosakkan beberapa buah kilang dan kenderaan, semalam.
1 /

PASIR GUDANG - Seorang pekerja kilang maut manakala 10 yang lain cedera selepas terkena bongkah dan serpihan batu akibat kerja-kerja meletup batu dari kawasan berhampiran Jalan Bukit 2, kawasan Malaysia Industrial Ester Limited (MIEL) Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Mangsa merupakan warga Nepal berumur sekitar lewat 20-an yang mati di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira- kira jam 12.50 tengah hari itu, 14 premis kilang dan 18 kenderaan turut mengalami kerosakan akibat letupan di kuari berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan kilang.

Seorang eksekutif akaun sebuah kilang membuat beg plastik, Mazni Nor Izdihar Jani, 24, berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah kuari berkenaan, selain merasai gegaran.

“Ketika itu, saya ingin keluar ke sebuah bank sebelum terdengar bunyi letupan yang kuat dari arah kuari berkenaan. Sebelum ini, memang selalu mendengar bunyi letupan, tetapi kali ini ianya lebih kuat,” katanya.

Kejadian itu juga menyebabkan kereta milik Mazni jenis Proton Saga BLM yang baru sebulan dibelinya remuk teruk akibat terkena serpihan batu.

“Mujur ketika itu saya belum sempat ke kereta yang diletakkan di luar kawasan kilang. Jika tidak, saya tidak tahu apakah nasib saya. Saya tergamam selepas melihat keadaan kereta saya namun reda dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Bagi seorang pengurus kilang membuat beg plastik Dragonpak, Jeffri Jamil berkata, kawasan kilangnya turut mengalami gegaran kuat seolah-olah berlakunya kejadian gempa bumi.

“Kami dikejutkan dengan bunyi letupan kuat sebelum satu bongkah batu besar berukuran lebih satu meter turut jatuh ke dalam kilang sehingga terkena pekerja warga Nepal sehingga menyebabkan dia meninggal dunia.

“Serpihan batu turut menembusi bumbung premis kami menyebabkan beberapa pekerja tercedera dan ada yang patah tangan,” katanya.

Sementara itu, pemilik syarikat Lipidchem Sdn Bhd, Cheng Yin Toing menganggarkan menanggung kerugian mencecah RM10 juta akibat beberapa jentera dan tangki minyak menyimpan minyak kelapa sawit di premisnya turut rosak.

“Banyak perkakas di bahagian pengeluaran yang rosak. Kami terpaksa menutup operasi kira-kira enam bulan bagi tujuan membaik pulih, manakala seramai 85 kakitangan diberikan cuti bergaji.

“Kami juga rugi besar kerana gagal menyiapkan tempahan mengikut kontrak yang telah ditandatangani dengan sebuah syarikat, ”katanya yang menjalankan perniagaan menghasilkan bahan kimia daripada minyak kelapa sawit.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.14 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian.

“Ketika tiba lokasi, terdapat bongkah dan serpihan batu berselerakan sehingga satu kilometer daripada kuari terbabit selain turut merosakkan 18 kenderaan dan 14 kilang.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati seorang pekerja sebuah kilang maut, tujuh cedera dan tiga cedera ringan akibat kejadian terbabit. Mayat mangsa dan 10 yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail,” katanya.

Mohd Rizal memaklumkan operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan 37 anggota bomba dari Balai Bomba Pasir Gudang dan dibantu Balai Bomba Johor Jaya.

“Dalam operasi berkenaan, kita turut memeriksa kawasan kuari berkenaan. Bagaimanapun tiada kebakaran berlaku manakala pekerja kuari juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.