• Sanggup datang dari jauh, lepas rindu Pasangan kekasih yang ditangkap berkhalwat di sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi kelmarin.
1 /

KLUANG -  Tidak serik-serik. Wanita yang pernah ditangkap Pejabat Agama Islam Johor pada tahun lalu atas kesalahan berkhalwat, sekali lagi dicekup ketika sedang memadu kasih selepas meraikan majlis hari jadi di sebuah hotel di Jalan Mengkibol, di sini, awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, wanita berkenaan  sempat menyambut hari jadi teman lelakinya yang ke-22 di sebuah restoran makanan segera di bandar Kluang.

Lelaki yang berasal dari Melaka itu sanggup datang ke Kluang semata-mata ingin menyambut hari lahirnya dan melepaskan rindu dengan teman wanitanya yang jarang ditemui kerana bekerja di sebuah pasar raya di bandar Kluang.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor cawangan Kluang, Anuar Kosnin, berkata, sewaktu serbuan dijalankan kira-kira jam 1.15 pagi pasukan penguat kuasa terpaksa menunggu lebih kurang lima minit untuk pasangan berkenaan membuka pintu hotel.

“Apabila pintu dibuka hanya lelaki sahaja yang ada manakala si wanita menyembunyikan diri dalam bilik air dalam keadaan berkemban dengan harapan untuk menyelamatkan diri daripada ditahan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati wanita yang ditahan itu pernah ditangkap oleh Pejabat Agama Islam Johor pada tahun lepas di kawasan Perumahan Jalan Haji Manan, Kluang tetapi bersama dengan lelaki lain,” katanya.

Anuar berkata, hukuman dan denda yang dikenakan ke atas wanita itu tidak pernah dijadikan tauladan tetapi masih mengulangi kesalahan yang sama iaitu berkhalwat.

“Bagaimanapun, pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Operasi bersepadu itu berakhir sekitar jam 5 pagi dan  melibatkan lima daerah Jabatan Agama Islam Johor iaitu Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru dan Kluang, disertai tiga anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Kem Mahkota Kluang.