LABIS - Biarpun penggunaan sirih dan pinang dalam kalangan masyarakat Melayu ketika ini semakin berkurangan, namun kewujudan kedua-dua tumbuhan itu memberi punca pendapatan kepada seorang warga emas di Felda Redong. di sini.

Warga emas tersebut, Ishak Ahmad, 63, berkata, dia mampu memperoleh sehingga RM200 sehari hasil jualan sirih dan pinang yang dijual kepada penduduk di beberapa kampung Orang Asli, di sini.

“Saya beli buah pinang dan sirih daripada penduduk sekitar sini. Kemudian jual semula kepada penduduk di beberapa kampung Orang Asli sebab ada permintaan tinggi dalam kalangan mereka.

“Saya jual seikat daun sirih yang mengandungi kira-kira 50 helai dengan harga RM2, sementara lima biji pinang juga dijual dengan harga sama sebungkus,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia mengakui masih terdapat banyak pokok pinang dan sirih yang terbiar di sekitar kampung ketika ini, namun tidak dijaga pemiliknya.

“Ia tak digunakan sebab kurangnya amalan makan sirih dalam kalangan masyarakat Melayu ketika ini,” katanya.

Ishak berkata, pada awalnya dia hanya membawa tumbuhan berkenaan sebagai buah tangan ketika pergi menziarahi rakan di Kampung Orang Asli Segamat Kecil dan selepas itu ramai yang minta menjualnya kepada mereka.

“Selepas tu, saya mula jual sirih dan pinang pada penduduk di kampung tersebut serta kampung lain sekitar Labis, termasuk Kampung Orang Asli Juaseh bagi mencari pendapatan tambahan.

“Dah hampir lima tahun saya jual pinang dan sirih kepada masyarakat Orang Asli. Pada mulanya saya akui memang ada pandangan serong daripada masyarakat dan orang sekeliling,” katanya.

Bagaimanapun kini, mereka sudah mula faham dan menerima dengan terbuka apa yang dilakukannya kerana selain hasilnya yang lumayan, kerja ini juga tidak memerlukan modal yang banyak.

Sementara itu, penduduk Orang Asli Ulu Juaseh, Sabaiyah Kuai, 45, berkata, dia menjadi pelanggan tetap Ishak sejak hampir empat tahun lalu dan mengakui apa yang dilakukan lelaki berkenaan banyak membantu penduduk mendapatkan bekalan sirih serta pinang.

“Memang ramai dalam kalangan Orang Asli makan sirih dan pinang, namun kami agak sukar mendapatkan bekalan sebab tak ramai yang mahu tanam kedua-dua tumbuhan tersebut.

“Setiap dua hari dia (Ishak) akan datang bawa bekalan dan kedatangannya memang dinantikan penduduk kampung, ada kalanya bekalan yang dibawa tidak mencukupi untuk kami,” katanya.

Sabaiyah berkata, kebiasaannya dia akan menghiris daun pinang sebelum dibalut bersama sirih dan kapur makan sebelum dikunyah begitu sahaja.

Campuran ini akan menghasilkan rasa yang pedas dan berwarna merah.

Katanya, amalan mengunyah sirih turut mempunyai manfaat dari segi kesihatan seperti merawat sakit perut, kembung, hidung berdarah, kencing tidak lawas, mata gatal dan menghilangkan bau badan serta mulut.

“Bagi melegakan sakit perut dan menghilangkan bau badan serta bau mulut, lima atau enam helai daun sirih perlu direbus terlebih dahulu.

“Ambil segelas air rebusan itu dan kemudian dikumur-kumurkan. Segelas lagi diminum dua kali sehari iaitu pada pagi serta petang,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BACHOK - Masih sihat. Begitulah keadaan seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun dari Kampung Wakaf Aik, Tawang di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.