GOTONG-royong merupakan aktiviti masyarakat Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu sehingga hari ini.

Semangat bergotong-royong begitu ketara terutama bagi masyarakat kampung ketika mengadakan aktiviti seperti perkahwinan, majlis kesyukuran dan sebagainya.

Namun begitu, amalan gotong-royong kini dilihat semakin luntur disebabkan pelbagai faktor termasuk kekangan masa selain kurang kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk meneruskan amalan yang baik ini.

Menyedari pentingnya aktiviti gotong-royong dikekalkan dalam masyarakat kampung, program Kenduri Sekampung Muafakat Johor diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung.

Program yang diadakan di Dewan Sekolah Agama Kampung Permatang Sepam, Benut merupakan anjuran bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dun Benut dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan (JKKK) Kampung Permatang Sepam.

Program selama dua hari itu mendapat sambutan meriah penduduk Kampung Permatang Sepam, Benut.

Seekor lembu turut disumbangkan seorang penduduk kampung bagi akikah dan dimasak secara gotong-royong.

Kanak-kanak menikmati hidangan kenduri.

Ketua kampung, Buang Sa’don berkata, 200 penduduk menjayakan program tersebut yang turut diselitkan dengan program cukur rambut bayi, lafaz terima taklif dan tazkirah modul keluarga sakinah.

Katanya, hujan lebat pada petang Jumaat tidak menghalang penduduk kampung bergotong-royong menyembelih lembu sebaliknya semangat muafakat dapat dilihat lebih kuat ketika itu.

“Walaupun hujan lebat selepas solat Jumaat, tetapi penyembelihan lembu dapat dilaksanakan dan penduduk dapat memasak nasi beriani secara rewang selepas itu.

“Alhamdulillah, program Kenduri Sekampung Muafakat Johor yang diatur sejak sebulan lalu berjalan lancar,” katanya.

Menurut Buang, Kampung Permatang Sepam cukup bertuah kerana dipilih sebagai perkampungan sakinah sejak lebih 10 tahun lalu oleh YPKDT.

“Lebih lima tahun lalu, kenduri yang sama dianjurkan di kampung kami, tidak sangka pada tahun Kampung Permatang Sepam dipilih sebagai tuan rumah bagi program Kenduri Sekampung Muafakat Johor,” katanya.

Majlis perasmian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Sementara itu Pegawai Eksekutif YPDKT, Dr Haji Khalid Jusoh berkata, program dianjurkan itu bermatlamat untuk menghidupkan semula semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, bagi memeriahkan lagi kenduri beberapa program diatur seperti penyerahan lafaz taklif antara ibu bapa dan anak.

Penyerahan lafaz taklif antara ibu bapa dan anak menjadi sebahagian program.

“90 peserta terdiri daripada ibu dan anak mengambil bahagian dalam program penyerahan lafaz taklif.

“Penyerahan taklif ini dilakukan ibu bapa atau penjaga kepada anak yang sudah sampai akil baligh dengan disaksikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut,” katanya.

Jelasnya, YPDKT berbesar hati dengan kerjasama JKKK Kampung dan penduduk yang bersemangat.

Penduduk, Mohd Hishamudin Alimin berkata, dia bertuah kerana bayinya yang berusia sebulan, Muhammad Hazzri Izz Danie diberi peluang turut serta dalam program cukur rambut yang diadakan sempena kenduri sekampung.

“Syukur kami sekeluarga bersama penduduk kampung memeriahkan lagi majlis kenduri sekampung,” katanya,

Penduduk, Marini Abd Ghani, 41, pula memuji usaha YPDKT kerana menganjurkan program penyerahan lafaz taklif antara ibu bapa dan anak.

“Penyerahan lafaz taklif cukup bagus untuk menyedarkan anak-anak supaya menghargai pengorbanan kedua ibu bapa mereka.

“Selain itu sifat-sifat yang baik dapat dipupuk dalam diri anak-anak menerusi sesi motivasi yang turut diselitkan,” katanya.