KLUANG – Kerajaan akan memastikan warisan seni dan budaya masyarakat Orang Asli di negara ini kekal untuk tatapan generasi akan datang walaupun ada perkampungan menerima arus pemodenan.

Senator Orang Asli Malaysia, Datuk Isa Abd Hamid berkata, dahulu fokus hanya diberikan kepada proses menaik taraf sosialisasi dan ekonomi Orang Asli sehingga seni dan budaya mula terpinggir.

“Di Malaysia, kita ada 18 etnik Orang Asli dan saya percaya jika seni dan budaya kesemua etnik ini diperkasa, ia mampu angkat martabat komuniti ini ke satu tahap lebih tinggi.

“Kita akan perkasa lagi kewujudan Muzium Orang Asli di Gombak, Selangor termasuk rumah adat agar seni dan budaya ini diwarisi secara ilmiah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Rumah Adat Suku Kaum Jakun dan Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli di Kampung Punjut di sini.

Pihaknya juga akan meminta kelonggaran kerajaan melibatkan kawasan rayau masyarakat Orang Asli yang sering menjadi konflik di antara dua pihak tersebut.

“Perkara ini mungkin akan dibawa ke Parlimen kerana terdapat akta hutan yang perlu disemak agar ‘lebih mesra’ Orang Asli,” katanya.