BATU PAHAT - “Saya sendiri pun tak pasti, bahagian mana yang menyerupai Datuk Siti Nurhaliza, mungkin kerana dagu saya yang terbelah ini,” kata graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Maisarah Raihana Ramli, 21.

Selain mirip penyanyi nombor satu negara, Maisarah juga pernah ditegur orang ramai kerana dikatakan mirip dengan seorang lagi selebriti iaitu Izara Aishah Hisham.

Menurut Maisarah, kali pertama dia ditegur dan ditahan beberapa individu yang ingin bergambar serta mendapatkan tandatangannya ketika berada di tingkatan tiga.

Katanya, sudah puas dia memberitahu dirinya bukan Siti Nurhaliza sehinggakan dia terpaksa menunjukkan kad pengenalannya.

“Lepas tunjuk kad pengenalan, barulah mereka percaya tapi masih mahu bergambar dengan saya. Itulah kali pertama saya digelar kembar Siti Nurhaliza. Ada juga yang ingat saya ini saudara terdekat Siti Nurhaliza," katanya ketika ditemui semasa Sidang Enam, Majlis Konvokesyen UTHM Ke-17, semalam.

Maisarah mengakui pada mulanya agak kekok berhadapan dengan situasi berkenaan, namun lama-kelamaan dia sudah terbiasa.

“Sebelum ini kawan-kawan dan cikgu pun ada cakap perkara yang sama, ada juga dalam kalangan ahli keluarga yang perasan.

“Saya ada empat beradik. Hanya saya yang menyerupai wajah ibu, yang lain semua ikut ayah,” katanya.

Graduan Teknologi Maklumat ini berkata, semasa di UTHM pula, dia ditegur sebagai Siti Nurhaliza selepas mendeklamasikan puisi dalam satu majlis dua tahun lalu.

“Kawan-kawan, pelajar lain terus panggil saya artis. Mula-mula tu memang rimas, tapi sekarang bersyukur kerana ia telah membuatkan saya dikenali,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Lebih 300 graduan termasuk ahli politik dan pemimpin menjadi penerima ijazah sarjana dan doktor falsafah pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-30 yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah, UUM, Sintok, Kedah bermula 18 November sehingga hari ini.
  • SERI ISKANDAR - "Suara mak seperti masih terngiang-ngiang di telinga saya menyuruh saya jangan putus asa, terus belajar hingga berjaya."
  • ALOR SETAR - Program Internship Anak Muda Negeri (Iman) merupakan platform terbaik graduan muda Kedah menimba pengalaman bekerja sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
  • JITRA - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kubang Pasu menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur ekspo kerjaya yang didakwa menindas graduan baru-baru ini.