PM perlu laksana 6 nota Rasuah Busters jika mahu tinggal legasi

Hussamuddin sidang akhbar program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
Hussamuddin sidang akhbar program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan enam nota Rasuah Busters yang dimahukan rakyat jika mahu meninggalkan legasi dalam kerajaan.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Ahli Parlimen Tambun itu semestinya mahu meninggalkan legasi pentadbiran beliau lebih-lebih lagi beliau berjaya menerajui negara selepas 24 tahun berjuang untuk mendapatkannya.

"Kalau kita tengok sejarah, Anwar dapat jawatan PMX dengan payah, jadi beliau perlu hargainya dah harus tinggalkan sebuah legasi.

"Saya yakin beliau akan laksanakan enam nota Rasuah Busters ini kerana beliau ada kuasa dan apa yang beliau nak, mesti jadi (kenyataan)," katanya ketika sidang akhbar program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.

Hussamuddin bersama lima wakil rakan gabungan Rasuah Busters dan pakar terdahulu mengumumkan secara terbuka enam nota Rasuah Busters kepada PMX agar reformasi sistem dan nilai diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya Anwar, barisan kabinet dan seluruh ahli-ahli Parlimen Malaysia yang sedang bersidang di Dewan Rakyat.

Ia merangkumi tuntutan pelaksanaan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan keperluan akta pendanaan politik.

Nota itu turut menuntut transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) dan reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara.

Hussamuddin menegaskan, kesan rasuah cukup besar dan jika tidak hentikan dengan melakukan transformasi seperti yang dicadangkan, ia akan merosakkan keluarga, anak cucu dan negara.

Menurutnya, ke arah menuju kemerdekaan ke-66 tahun ini, Malaysia harus dilihat bebas daripada kleptokrasi, justeru itu transformasi negara harus bergerak seiring dengan usia kemerdekaannya.

"Sebarang bentuk elemen yang memperlahankan kemajuan dan mencemar kemerdekaan negara ini harus dihentikan serta merta. Demi keadilan tiada pilih kasih, tiada pendakwaan terpilih.

"Lakukan reformasi sistem dan reformasi nilai secara total dan dengan ikhlas. Inilah penawar untuk negara ini pulih dan bersih daripada rasuah," ujarnya.