[VIDEO] Rasuah Busters kemuka 6 nota kepada PM

Hussamuddin ketika program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Hussamuddin ketika program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Rasuah Busters mengemukakan enam nota kepada kerajaan melalui Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak reformasi perundangan, institusi dan moral dilakukan dengan segera.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia melibatkan tuntutan pelaksanaan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan keperluan akta pendanaan politik.

Beliau berkata, ia turut menuntut transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) dan reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara.

"Nota ini dikemukakan agar fokus kerajaan terhadap transformasi berkaitan dapat diangkat dan dibincangkan ahli-ahli Parlimen sepanjang tempoh sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

"Aspirasi PMX untuk menjadikan Malaysia bersih daripada rasuah akan terlaksana bukan saja daripada kesedaran rakyat untuk mengubah budaya sistemik rasuah melalui perubahan budaya integriti yang sihat, tetapi juga memerlukan tindakan segera.

"Tindakan itu perlu disertakan dengan iltizam politik yang tinggi daripada Datuk Seri Anwar, menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli Parlimen selaku penentu dasar dan penggubal undang-undang demi kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.

Menerusi program itu, lima lagi panelis terdiri daripada rakan gabungan Rasuah Busters dan pakar berkaitan turut berhujah dan meminta nota yang dikemukakan diberi perhatian oleh kerajaan.

Mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin; bekas menteri kabinet, peguambela dan peguamcara yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islamik Dunia dan Kumpulan Kajian OIC (OICSG), Tan Sri Syed Hamid Albar

Turut serta, Exco Transparency International Malaysia (TI-M), Alan Kirupakaran; Ketua Pengawai Eksekutif, Institusi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh; peguam dan bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dan peguam dan Pengasas Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel.

Menjelaskan secara terperinci, Hussamuddin memberitahu, menerusi nota pertama pihaknya melihat pengasingan kuasa perlu dilakukan demi mengelakkan kebarangkalian pertindihan kuasa peguam negara selaku penasihat undang-undang dan badan eksekutif dengan pendakwa raya.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pendakwaan dapat dilakukan secara bebas berdasarkan siasatan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

"Peranan serta fungsi kedua-duanya adalah bercanggah antara kepentingan kerajaan dan kepentingan awam.

"Bagi mengelakkan konflik kepentingan, peranan keduanya perlu diasingkan melalui pindaan perlembagaan," ujar beliau.

Menurutnya, nota kedua menuntut kerajaan menyegerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 demi menjamin keselamatan dan imuniti kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat dengan bertanggungjawab demi mengawal selia risiko ketirisan.

Kata beliau, pindaan tersebut bertujuan memperbaiki saluran aduan agar ia diperluas dan melahirkan keyakinan serta mempertahankan hak pelapor yang melaporkan kes dengan bertanggungjawab.

"Nota ketiga adalah keperluan akta pendanaan politik bertujuan memperkukuhkan demokrasi negara serta pengagihan sumber kewangan dan pendanaan kepada parti politik secara telus dan adil.

"Pemantauan sumber kewangan dan dana politik dapat dilakukan dengan berkesan dengan wujudnya undang-undang ini.

"Melalui akta tersebut manipulasi sistem, prosedur, konflik kepentingan, kelemahan kawalan dan ketirisan akan dapat disekat dan mampu menangkis politik rasuah yang menggugat integriti dan akauntabiliti institusi politik," jelasnya.

Menyentuh tentang nota keempat yang menggariskan transformasi menyeluruh SPRM, Hussamuddin menegaskan, ia untuk mempertingkat kewibawaan agensi berkenaan dengan meletakkannya di bawah Parlimen dalam usaha mengelakkan wujudnya potensi pendakwaan terpilih melalui pengaruh eksekutif.

"Rasuah Busters berpendirian langkah-langkah reformasi dan pembaharuan struktur SPRM perlu dilaksanakan dengan segera.

"Kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kredibiliti kerajaan, agensi berkaitan dan komitmen kolektif terhadap tadbir urus dan integriti yang diharapkan," katanya.

Hussamuddin menjelaskan, menerusi nota kelima yang menuntut kebebasan badan kehakiman, pihaknya mahu proses pemilihan hakim dibuat berdasarkan kriteria tepat dan jelas melalui pelantikan yang telus dan bebas tanpa sebarang pengaruh eksekutif.

Ujarnya, proses yang lebih sistematik akan memperbetulkan sebarang persepsi penyalahgunaan kuasa dalam proses pelantikan.

"Rasuah Busters menegaskan bahawa pengekalan kebebasan badan kehakiman amat penting untuk mencapai objektifnya dalam mengangkat kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan sepenuhnya berfungsi untuk rakyat," ulasnya.

Hussamuddin menambah, komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah adalah bergantung kepada keberkesanan nota keenam iaitu pelaksanaan penuh NACP dan reformasi nilai.

"Reformasi nilai harus bergerak seiringan dalam sebarang bentuk pembangunan polisi integriti, governan dan antirasuah oleh kerajaan.

"Ia adalah sebahagian daripada struktur teras pembentukan rakyat berjiwa patriotik, negara bermaruah dengan ketrampilan kepimpinan yang berkompetensi dan berkualiti," kata beliau.