Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 kukuh integriti pelajar

BESUT - Usaha membentuk generasi berintegriti perlu dimulakan sejak di institusi pendidikan agar mereka bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah turut mempunyai prinsip yang kukuh ketika memasuki dunia pekerjaan.
Pengarah TVETMARA Besut, Ir Ts Abdul Athar Ibrahim berkata, ini kerana kemahiran membina kerjaya dan integriti menentukan bagaimana seseorang menggunakan ilmu serta amanah yang diberikan.
Menurutnya, pelajar TVETMARA khususnya perlu diberi pendedahan awal mengenai kepentingan integriti dan bahaya rasuah memandangkan sebahagian besar pelajar institusi itu tidak pernah terdedah secara dekat kepada aspek pencegahan rasuah.
“Sebenarnya, kebanyakan pelajar kita yang masuk di sini merupakan pelajar yang tidak terdedah dengan program-program sebegini.
“Ini adalah salah satu perkara yang kita rasa perlu diberikan kepada para pelajar kerana mereka secara langsung akan terlibat dengan dunia luar yang lebih mencabar,” katanya kepada Rasuah Busters selepas Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 di TVETMARA Besut pada Selasa.
Program anjuran Unit Integriti Majlis Amanah Rakyat (MARA) tersebut disertai kira-kira 200 peserta melibatkan pelajar daripada semester satu hingga lima daripada pelbagai jurusan.
Jelajah edisi 2026 yang memasuki tahun ketiga itu menyasarkan enam lokasi IPMA di seluruh negara sehingga Oktober depan dengan libat urus mencecah 2,000 pelajar.
Jelajah berkenaan turut disempurnakan dengan program ceramah integriti oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Turut hadir, Pengarah Projek Rasuah Busters yang juga Penasihat dan Pengasas Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah.

Tambah Abdul Athar, program itu bukan sekadar memberi pengetahuan mengenai rasuah, sebaliknya mampu membentuk jati diri serta memperkukuh pegangan integriti dalam kalangan pelajar.
“Pendedahan awal kepada isu rasuah dan integriti penting bagi memastikan golongan muda mempunyai kefahaman serta pendirian yang jelas apabila berdepan dengan cabaran di alam pekerjaan kelak.
“Program ini merupakan platform yang baik untuk membantu pelajar membina jati diri dan menjadikan integriti sebagai prinsip dalam kehidupan.
“Ia juga baik untuk mereka bagi memastikan jati diri dan integriti mereka, khususnya berkenaan dengan rasuah, dapat diperkukuh serta diberi pendedahan dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berharap sesi perkongsian berkenaan dapat menjadi bekalan kepada pelajar untuk membuat keputusan yang betul apabila berdepan dengan sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau rasuah pada masa hadapan.
Sementara itu, Muhamad Nasir turut berkongsi bahawa golongan muda wajar menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan, bukan sekadar membacanya, tetapi memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.
Menurut beliau, generasi yang memahami al-Quran bukan sahaja mampu membina kehidupan yang lebih baik, malah dapat membentuk masyarakat berakhlak, bertanggungjawab dan berintegriti.
Pada majlis berkenaan, Muhamad Nasir turut menyampaikan wakaf al-Quran yang disumbangkan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) kepada Pengarah TVETMARA Besut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

