Legenda bola sepak Kelantan ditidurkan

Mohd Hashim semasa ditemui pemberita pada 22 Oktober lalu di rumahnya di Kota Bharu.
Mohd Hashim semasa ditemui pemberita pada 22 Oktober lalu di rumahnya di Kota Bharu.
A
A
A

LEGENDA bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha, 57, terpaksa ditidurkan oleh doktor akibat masalah komplikasi kencing manis.

Perkhabaran itu dikongsikan oleh menantu kepada bekas penggempur berbisa Kelantan itu, Mohd Nizab Ayub yang memaklumkan bapa mentuanya itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Sebelum dikejarkan hospital, bapa mentua saya mengalami keletihan. Pada masa yang sama jantung berdegup kencang pada jam 11 pagi Jumaat," katanya.

Menurut Mohd Nizab, sebelum ditidurkan keadaan bapa mentuanya itu agak kritikal.

Justeru, beliau memohon kepada seluruh peminat bola sepak negara mendoakan semoga Mohd Hashim kembali sembuh seperti sedia kala.

Sinar Harian pada 14 Oktober lalu melaporkan, kaki kiri bekas penggempur sensasi yang juga legenda pasukan bola sepak Kelantan era 90-an itu terpaksa dipotong akibat saluran darah tersumbat selepas terkena jangkitan kuman sejak Mac lalu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Mohd Hashim menderita akibat jangkitan kuman di pergelangan kaki kanan selepas terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya, Mac lalu.

Insiden itu berlaku ketika beliau mahu keluar melaksanakan tugas sebagai pengendali Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu menyebabkan, kaki kanannya bengkak secara mengejut menyebabkan dia tidak dapat memakai kasut seperti biasa.