PRU15: Noh desak Zahid letak jawatan

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan ekoran prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Noh, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Selangor selepas mesyuarat Biro Politik BN petang ini.

"Kalau presiden berjiwa besar, beliau patut meletakkan jawatan seperti yang dilakukan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bila kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Biarlah orang baru yang menguruskan UMNO. Sebagai presiden parti pun beliau menang majoriti tidak sampai seribu," katanya kepada media di Ibu Pejabat UMNO di WTC petang Ahad.

Katanya, walaupun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Selangor, namun beliau kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Ahmad Zahid yang memenangi kerusi Parlimen Bagan Datuk memperoleh 348 majoriti dengan 16,578 undi.

Beliau mengalahkan tiga calon parti lain iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH) dengan 16,230 undi, Dr Muhammad Faiz Na'aman (PN) 8,822 dan Tawfik Tun Dr Ismail (Bebas) 226 undi.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan kekalahan BN dalam PRU15 sebagai yang terburuk dalam sejarah.

Artikel Berkaitan:

"Saya menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat," katanya.

Ditanya mengenai desakan supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan, Bung berkata, semua pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab.

"Jika Presiden UMNO letak jawatan, semua kepimpinan perlu ambil tindakan yang sama," katanya.