X

Kindly register in order to view this article
!

Sukar henti politik caci maki di Malaysia

A
A

SHAH ALAM - Budaya politik sempit, umpat keji, maki hamun yang sudah lama menular di negara ini sudah sampai ke kemuncaknya dan tidak mustahil akan menyebabkan tercetusnya peperangan seperti di negara Islam lain jika dibiarkan berlarutan, kata pemerhati politik, Dr Zahalan Man.

Ekoran itu katanya, politik caci nista ini harus segera dihentikan sebelum ianya mengundang parah yang lebih besar sehingga berlakunya kehancuran umat hanya gara-gara politik. "Apa yang berlaku seperti di negara lain pun, mula-mula ialah perselisihan faham, tak puas hati, lepas itu kata-mengata, lepas itu caci-mencaci, lepas itu terus berperang, di sini pun akan berlaku macam itu juga, jadi kita kena hentikan perkara ini. "Orang Melayu akan hancur kerana telah diresapi ideologi-ideologi Yahudi di dalam badan dan akal-akal orang Melayu, dalam jiwa orang Melayu. Jadi orang Melayu hari ini kita lihat sudah hendak berperang," katanya kepada Sinar Harian Online.

Zahalan diminta memberikan pandangan berhubung tulisan yang juga doa bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr Ismail Ibrahim supaya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) segera diadakan supaya rakyat Malaysia "khususnya orang Melayu dan orang Islam, telah menghabiskan masa secara sia-sia, tanpa banyak memberi faedah yang positif dan produktif untuk kepentingan bangsa dan agama kita", dapat dihentikan. Beliau ditanya apakah dengan berlangsungnya segera PRU13 yang dikatakan paling sengit ini, wajah politik Malaysia akan bertukar. Menurut pemipin veteran ini, meskipun PRU13 berlangsung awal, ia tidak akan mampu mengubah apa-apa, namun bertegas hal ini perlu dihentikan segera. "Tak boleh berlanjutan sebabnya kalau kita melihat dari segi perjuangan politik tanah air kita yang dibawa oleh datuk nenek kita dahulu, budaya hormat-menghormati antara satu sama lain sangat tinggi. Berbudi bahasa, tutur kata dengan lembut, ada nilai bangsa dan agama," katanya. Beliau memberikan contoh seperti yang berlaku pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kota Bharu Kelantan baru-baru ini sehingga menimbulkan perasaan kurang enak di kalangan umat Islam di negara ini.  "Adakah ada ayat al-Quran yang cakap boleh maki? Adakah hadis menyebut ada sifat-sifat nabi yang mengeji orang, menyumpah atau mendoakan orang supaya lingkup? Nabi pun doa Kau selamatkan lah umatku, tetapi kita ini berdoa untuk bagi rosak dan musnahkan KO! KO! semua ini... kita sudah masuk bahasa Yahudi. Kita sudah tidak ada peradaban. "Ini lah satu doa yang didoakan oleh iblis syaitan. Mereka (syaitan) berdoa juga supaya orang Islam ini musnah. Dia berdoa juga kepada ALLAH. Adakah ALLAH akan memakbulkan doa-doa dia?" kata Zahalan lagi. Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, keadaan politik semasa pada hari ini dalam keadaan bahaya dan tidak menolak keadaan akan tambah meruncing sekiranya PRU13 diumum akan diadakan lebih awal dari jangkaan pembangkang.  "Keadaan akan menjadi lebih teruk menjelang PRU sebab parti Pakatan Rakyat ini mereka memang dalam keadaan terdesak. "Mereka merasakan sudah dekat cita-cita mereka, jadi mereka terpaksa emosi sikit untuk menyuarakan kegelisahan mereka untuk dapatkan matlamat memerintah negara. Jadi apa sahaja cara telah dihalalkan untuk mereka mencapai cita-cita itu. "Termasuklah memaki orang-orang Islam sesama Islam. Ini tak pernah dibuat (sebelum ini) untuk menjahanamkan satu-satu bangsa yang seagama. "Orang Umno tidak (pernah) keluar daripada Islam dan tak pernah mendoakan orang Pas ke atau mana-mana untuk jahanam,"katanya mengambil contoh sama seperti Zahalan. Doa yang dipimpin oleh adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat mengejutkan negara apabila meminta supaya Umno dihancurkan. Doa itu diaminkan kira-kira 40,000 penyokong yang menyertai himpunan itu.

"Kalau ini berterusan, saya rasa keretakan ummah di negara ini akan lebih teruk daripada apa yang berlaku di Timur Tengah.

"Di negara mereka (bergaduh) antara Syiah dan Sunnah, kita di negara ini, satu regu dan boleh kita kata satu kelompok, bertelagah yang begitu menjelekkan dan tak pernah berlaku sebelum ini," tegas Abdul Aziz. Bahkan katanya, apa yang cuba dilakukan oleh pimpinan pembangkang pada hari ini dalam usaha meraih kuasa politik benar-benar bertentangan dengan hadis dan al-Quran. "Mereka cuba menerapkan budaya ekstremisme, pelampau. Yang Islam tuntut ialah kesederhanaan. Ini kan pula bukan bertelagah lain agama tetapi sesama agama. "Apa yang kita mampu lakukan sekarang ialah mendoakan agar ALLAH swt bukakan pintu hati mereka. Sekarang kita bukan gunakan cara ideologi, kita guna cara wahyu pula untuk membuka pintu hati masing-masing untuk menyatukan ummah," katanya kepada Sinar Harian Online.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus