Parti Amanah Negara
A
A

KOTA BHARU - Pas dilihat mula menggelabah dan gerun dengan perkembangan pengaruh Parti Amanah Negara (Amanah) sehinggakan sanggup mengaitkan kesetiaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Pas dan tidak akan menyertai parti itu sekiranya masih hidup.

Timbalan PengerusiAmanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, tindakan itu dilakukan kemungkinan Pas sudah mula merasai bahang perjuangan parti berkenaan yang semakin diterima rakyat.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Selangor, Mohd Fadli Ghani dengan menggambarkan Nik Abdul Aziz tidak akan menyertai Amanah sekiranya masih hidup adalah satu tanggapan melulu.

“Mungkin atas asas ketakutan melampau Pas kepada pengaruh Amanah di seluruh negara termasuk di Kelantan sehingga mereka sanggup menyandarkan hujah mereka kepada seorang yang telah mati.

“Jika keluarga Tok Guru Nik Aziz sendiri tidak ada hak untuk menyatakan andaian sikap atau pandangan  masa depan politik arwah, maka orang luar lagilah tidak berhak,” katanya, semalam.

Tidak mahu mendabik dada, namun Amanah yakin kenyataan sebegitu tidak akan mempengaruhi mana-mana individu lain untuk menyokong parti tersebut malah, tidak memberi kesan kepada perjuangannya.

Che Ibrahim turut menganggap kenyataan itu sebenarnya telah dibuat secara tidak adil kerana Mursyidul Am Pas berkenaan meninggal dunia tujuh bulan sebelum Amanah ditubuhkan.

“Mana boleh kita membuat sesuatu andaian tanpa asas kepada  seseorang yang telah meninggal dunia sebelum isu ini berlaku. Saya menyifatkan kenyataan ini satu perbuatan yg tidak betul dan telah menceroboh privasi keluarga arwah,” katanya.

Menurutnya, sejarah perpecahan politik Pas yang lalu tidak boleh disandarkan sebagai andaian kecenderungan politik Allahyarham Nik Abdul Aziz.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×