X

Kindly register in order to view this article
!

'Jika Pas ingin bersama Umno, putuslah dengan PKR'

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A

GEORGETOWN - Pas perlu segera menyatakan pendiriannya sama ada ingin kekal bersama Pakatan Harapan atau akan bekerjasama dengan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pas tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi kerana ia akan menyebabkan keyakinan pengundi terhadap Pakatan Harapan terganggu.

Menurutnya, tindakan Pas kini lebih condong ke arah ingin bekerjasama dengan Umno selepas mengumumkan putus hubungan dengan PKR di Pulau Pinang.

"Apabila mereka ingin bekerjasama dengan Umno dan BN, mereka perlu memutuskan hubungan dengan PKR. Mereka juga dilihat sedang membuat persediaan asas apabila  mengumumkan keputusan itu baru-baru ini.

"Bagaimanapun, apa yang kita boleh jangka, mereka (Pas) akhirnya akan bekerjasama dengan Umno dan BN selepas mula memutuskan hubungan dengan DAP dahulu," katanya kepada media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri berkata, berkemungkinan akan berlaku satu pakatan baharu iaitu 'BN+1 Pakatan' dalam PRU akan datang.

"Walau apa juga keputusan mereka, mereka perlu menyatakannya dengan jelas pendirian mereka itu.

"Ini bagi mengelakkan kehilangan pengundi kerana mereka akan keliru dengan pendirian Pakatan Harapan," katanya.

Ahad lalu, Pas Permatang Pauh meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR selepas melihat parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin sejak sekian lama.

Mereka berkata, PKR khasnya di Pulau Pinang tidak menghormati Pas sebagai rakan tahaluf apabila terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara yang sebelum ini dengan lantang menyerang Pas dan pimpinannya.

Selain Permatang Pauh, Pas Bayan Baru turut mengambil tindakan sama apabila mendapati PKR Pulau Pinang gagal membela dan mempertahankan Islam apabila secara terang-terangan mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa negeri.

Ditanya mengenai rundingan kemungkinan Pas akan bekerjasama dengan Bersatu, Guan Eng berkata, perkara itu dilihat tidak akan berlaku.

"Sangat jelas rundingan itu tidak akan menjadi kenyataan dan ia telah terbukti dengan tindakan kedua-dua cawangan Pas berkenaan. Keadaan ini berbeza di Selangor yang mana Pas menyokong PKR dan kerajaan negeri.

"Mereka hanya menunggu masa, sampai waktunya mereka akan tinggalkan PKR dan bekerjasama dengan Umno dan BN. Walau apa pun keputusan, itu hak mereka namun perlu membuat kata putus yang jelas," katanya.

 


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!