X

Kindly register in order to view this article
!

Teck Meng (dua, kiri) dalam sidang media hari ini.
Teck Meng (dua, kiri) dalam sidang media hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikutan kenyataan beliau yang didakwa memfitnah parti itu dalam isu tanah di Tanjung Tokong.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, sebuah notis tuntutan diserahkan kepada Guan Eng bagi menuntut beliau meminta maaf secara rasmi dan tanpa syarat kepada Gerakan melalui sidang media dalam masa 72 jam mulai hari ini.

"Guan Eng didapati berulang kali mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dengan mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Gerakan di bawah bekas Presiden Gerakan dan Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah menjual tanah penambakan di Tanjung Tokong (Sri Tanjung Pinang) kepada pemaju pada 1990-an dengan harga RM1 kaki persegi bagi keluasan 980 ekar bernilai RM42.7 juta.

"Setelah berbincang dengan pemimpin dan ahli parti  serta mendapat pandangan peguam parti, kami membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan nama baik, imej dan kepentingan parti serta Tsu Koon," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, tidak wujud jualan tanah Tanjung Pinang oleh Gerakan sebaliknya ia merupakan perjanjian konsensi penambakan tanah yang  diberikan pada 1992.

Menurut beliau, terdapat dua komponen penting iaitu hak menambak tanah dan pegangan syer dalam penambakan tanah.

"37 peratus adalah syer milik kerajaan Pulau Pinang dan pada fasa pertama, sejumlah 240 ekar telah ditambak dan 47 ekar diserahkan balik kepada kerajaan Pulau Pinang.

"Bagi fasa kedua, 760 ekar ditambak dan 191 ekar harus diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi kerajaan pimpinan DAP menggunakan 110 ekar untuk projek tiga lebuh raya dan terowong bawah laut. Ini bermakna,  Gerakan tidak pernah menjual tanah dengan harga RM1 kaki persegi," katanya.

Katanya lagi, Gerakan mempunyai bukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini sebenarnya yang menjual tanah.

"Saya ada senarai mereka menjual tanah sejak 2008 melibatkan berbilion ringgit dan sehingga hari ini tidak pernah dijawab.

"Jadi, saya minta DAP supaya jangan terus memfitnah Gerakan sedangkan mereka yang banyak menjual tanah kerajaan," dakwanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!