PRK KKB: Kerjasama parti komponen Kerajaan Perpaduan amat baik

Lih Kang. Foto Bernama
Lih Kang. Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerjasama dipamerkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) amat baik, menurut Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ia membolehkan usaha meraih undi bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan penting bagi membolehkan suara rakyat dibawa terus kepada Kerajaan Negeri Selangor atau Kerajaan Persekutuan.

"Ini penting (untuk) pembangunan kawasan, jadi siapa (yang) mudah bawa suara ke peringkat kerajaan, dia ada kelebihan dekat situ," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di sini pada Ahad.

Dalam pada itu Lih Kang berkata, meskipun maklum balas diterima Sock Tao, 31, sangat positif, usaha supaya pengundi menunaikan tanggungjawab pada 11 Mei ini perlu terus dipergiatkan.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Sock Tao ditentang Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: