PRK Kuala Kubu Baharu: PN lancar manifesto hari ini

Mohamed Azmin (kiri) bersama Harrison (berdiri dua dari kiri) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jeram di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, pada Ahad malam.
Mohamed Azmin (kiri) bersama Harrison (berdiri dua dari kiri) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jeram di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, pada Ahad malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, lima teras utama manifesto itu akan diumumkan sendiri calonnya, Khairul Azhari Saut di Bilik Gerakan jam 5 petang.

"Kita akan melancarkan manifesto itu esok (Isnin) dan ada lima teras utama yang telah dikenal pasti PN," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, di sini pada Ahad malam.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin menjelaskan, pihaknya yakin calon PN mempunyai keupayaan untuk melaksanakan janji manifesto.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu menjelaskan lanjut mengenai lima teras manifesto itu.

Ditanya mengenai manifesto calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, Mohamed Azmin mendakwa ia adalah palsu dan dusta semata-mata.

"Apa guna manifesto Kuala Kubu Baharu jika di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri gagal dilaksanakan selepas lebih setahun berkuasa," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan pengundi pada pecutan akhir PN menjelang PRK dilihat amat positif setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin (kemenangan) namun kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu memfokuskan lokaliti selain Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan turun menemui jentera dan memberi amanat beliau esok," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang menjaga PDM Kuala Kali yakin kemenangan akan berpihak kepada calon PN.

Jelas beliau, sudah tentu pengundi mahu calon wakil rakyat yang sentiasa dekat dan mudah untuk mereka berurusan.

"PN kini mengutamakan keikhlasan untuk membantu menyelesaikan isu rakyat dan suara pembangkang akan lebih kuat jika memenangi kerusi itu nanti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!