'Jika menang saya pastikan pejabat ada wakil semua kaum' - Sock Tao

Sock Tao bergambar bersama peserta Kejohanan Bola Jaring Tertutup Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Baharu di sini, pada Ahad.
Sock Tao bergambar bersama peserta Kejohanan Bola Jaring Tertutup Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Baharu di sini, pada Ahad.
A
A
A

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao memberi jaminan akan melantik kakitangan pelbagai kaum bekerja di pejabatnya sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei nanti.

Menurut anak kelahiran Ampang, Selangor itu, perancangan itu tersebut selari dengan inti pati yang terkandung dalam manifesto yang diumumkannya sebelum ini.

"Kebajikan dan kesejahteraan rakyat begitu dekat dengan hati saya dan seperti diumumkan dalam ceramah saya telah membentangkan manifesto.

"Saya akan pastikan pejabat saya terdiri daripada kaum termasuk Melayu, India, Cina dan Orang Asli.

"Ia bagi memastikan komunikasi yang lebih berkesan kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu, selain tidak mahu ada rakyat yang tertinggal dalam mendapat bantuan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Bola Jaring Tertutup Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Baharu di sini, pada Ahad.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan majoriti 4,119 undi.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN KKB memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!