[VIDEO] Sokong PM: Keputusan tindakan dibawa dalam mesyuarat MPT

A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan tindakan terhadap enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri akan dibawa dalam Mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia bukan hanya berkaitan enam ahli Parlimen tersebut sahaja tetapi turut membabitkan kepada semua ahli Bersatu.

"Sebab itu apa yang kita lakukan adalah dengan mendapatkan kepastian daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan apabila diterima tentang perlembagaan kita yang baharu, kita pun bermesyuarat dalam jawatankuasa kecil yang dipimpin Tan Sri (Muhyiddin Yassin) dan fikirkan perkara yang kita akan berikan (tindakan) kepada semua ahli parti termasuk enam orang ini.

Hamzah dan Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah di Kota Kinabalu.
Hamzah dan Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah di Kota Kinabalu.

"Bila sudah ada keputusan maka kita akan bawa 'endorsement' dalam mesyuarat MPT yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri tak lama lagi dan selepas itu tindakan akan diambil termasuklah enam orang itu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya perkembangan mengenai proses tindakan terhadap enam ahli parlimen Bersatu yang menyatakan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin sekali lagi menyatakan pandangan Bersatu bahawa kerusi di enam Parlimen akan dikosongkan jika mengikut perlembagaan parti yang telah dipinda dan diluluskan RoS.

"Kalau ikut perlembagaan parti kita yang dipinda, RoS pun sudah meluluskannya bahawa kalau hal sebegini berlaku maka keahlian telah terhenti, dia tak jadi ahli, tergugur begitu saja secara automatik.

"Kalau ikut perlembagaan Persekutuan Akta Anti Lompat Parti, kerusi itu sudah kosong tapi proses itu ialah kita ambil tindakan yang Datuk Hamzah sebutkan tadi. Lepas itu kita akan maklumkan kepada Speaker dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan kekosongan, pilihan raya perlu diadakan.

"Itu pandangan kamilah, sebab itu perlembagaan kita perlu sahkan RoS. Jadi kita hanya nak menunggu masa, mungkin tidak tahu berapa tidak lama lagi perkara itu akan berlaku," katanya.

Sebelu itu, enam ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!