X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

'Mereka berniat jahat'

Muhammad Sanusi (lima dari kanan) bergambar bersama penjawat awam Persekutuan Negeri Kedah selepas menyampaikan amanat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Golongan yang mahu memecahbelahkan penyatuan ummah serta merosakkan perpaduan boleh dilabelkan sebagai perosak agama dan berniat jahat.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang bentuk penyatuan sama ada peringkat parti mahupun kemasyarakatan sepatutnya disuburkan dan diterima baik semua pihak.

“Kalau ada pihak yang cuba menggugat penyatuan ummah, itu kerja syaitan. Jika tidak mahu dilabelkan begitu sila buat kerja lain dan jangan ganggu penyatuan yang seharusnya disuburkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah Bersama Menteri Besar Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah hari ini.

Muhammad Sanusi turut merujuk kepada kepada Surah al-Israa’ ayat 53 yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian badan penyelidik, Ilham Centre yang menjangkakan strategi penyatuan Melayu digunakan UMNO-Pas dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak mampu bertahan lama.

ARTIKEL BERKAITAN: Ilham Centre jangka penyatuan UMNO-Pas tidak bertahan lama

Kajian itu menyebut, retorik penyatuan Melayu dan ummah itu akan teruji ketika Muafakat Nasional (MN) berunding untuk agihan kerusi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai gabungan itu dan dijangkakan berlaku pertembungan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menyifatkan kajian dilakukan Ilham Centre ibarat ‘sampah’ dan tiada fakta saintifik.

Muhammad Sanusi mendakwa mengenali individu yang terlibat dalam Ilham Centre.

“Saya kenal siapa di belakang Ilham Centre. Kebanyakan mereka aktivis politik parti Amanah. Sebelum Amanah wujud, ada Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan jawatankuasa penaja ini terdiri daripada mereka di belakang tabir badan penyelidik itu. Kita boleh nilai pandangan mereka sama ada bernilai atau tidak,” katanya.

Menurutnya, lontaran gerak saraf itu berselindung di sebalik kajian yang tidak bersandarkan kepada realiti.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!