'Naikkan denda minimum RM200,000 kepada pesalah cemar sungai'

Michelle membantu membuat agihan air walaupun beberapa kawasan dilaporkan sudah mula mendapat bekalan sejak semalam.
Michelle membantu membuat agihan air walaupun beberapa kawasan dilaporkan sudah mula mendapat bekalan sejak semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berharap agar denda minimum ke atas pesalah yang didapati terlibat dengan pencemaran sungai di Selangor dapat dinaikkan sehingga RM200,000.

Michelle berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memaklumkan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan dipinda bagi meningkatkan denda maksimum kepada pesalah terlibat sehingga RM1 juta.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri perlu meletakkan ambang minimum bagi menjadi panduan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah.

"Secara teorinya, walaupun denda bagi kesalahan itu dinaikkan sehingga RM1 juta, mahkamah boleh boleh menjatuhkan hukuman denda RM1, RM10 atau pun RM10,000.

"Kerajaan perlu meletakkan ambang minimum untuk menjadikannya panduan kepada hakim," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam.

Sebelum ini, Amirudin berkata, kerajaan Selangor akan meminda Enakmen LUAs 1999 bagi menaikkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta terhadap mana-mana individu atau premis yang terbukti menyebabkan pencemaran sumber air di Selangor.

Dalam pada itu, Michelle berkata, pindaan berkenaan juga perlu dibuat dengan memasukkan hukuman penjara mandatori kepada mana-mana pesalah yang terlibat mencemarkan sungai di negeri ini.

"Mereka yang bersubahat kepada kesalahan ini (pemandu lori, pelaksana arahan) tertakluk juga kepada hukuman yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Michelle berkata, sebilangan kawasan di Subang Jaya sudah mula menerima bekalan air di beberapa kawasan sejak semalam.

Bagaimanapun, Michelle berkata, pihaknya masih giat turun padang bagi membantu pengagihan bekalan air kepada penduduk yang terjejas di kawasan terlibat.