Melaka pastikan peninggalan sejarah tidak terabai

Sulaiman (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Mohd Safid Affendi ketika melawat ladang lembu di Solok Bukit Baru, di sini, hari ini.
Sulaiman (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Mohd Safid Affendi ketika melawat ladang lembu di Solok Bukit Baru, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan perhatian kepada produk-produk pelancongan di Melaka bagi memastikan peninggalan sejarah tidak terabai serta dapat dipulihara.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia penting supaya nilai sejarah ini dapat dipertontonkan kepada generasi akan datang dan sebarang kerosakan mahupun kedaifan sesuatu peninggalan, boleh dipanjangkan kepada pihak berkenaan agar ia dibaik pulih dan tidak terbiar.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Warisan Negara memperuntukkan kira-kira RM50,000 untuk kerja-kerja baik pulih Perigi Hang Tuah yang terletak di Duyong supaya terus menarik kedatangan pelancong, pada masa sama bersedia menerima cadangan penduduk untuk mewartakan tempat menarik yang boleh dijadikan produk pelancongan baharu di kawasan berkenaan.

Katanya, pemimpin kawasan yang diberikan tanggungjawab mewakili penduduk, disarankan sering turun padang agar sebarang permasalahan yang membabitkan produk pelancongan seperti kerja-kerja baik pulih dapat disalurkan dengan segera.

"Ada yang memaklumkan kepada saya dari sudut pelancongan apa yang perlu diperbaiki dan mungkin ada produk- produk pelancongan perlu diberikan perhatian jadi kaedah turun padang seperti ini adalah lebih baik.

"Contoh di sini banyak tempat-tempat menarik boleh dijadikan produk pelancongan. Saya harap semua perkara dapat dimaklumkan kepada saya untuk dimajukan dan seperti Perigi Hang Tuah telah disalurkan untuk membaiki struktur perigi itu," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sulaiman turut meluangkan masa beliau menyantuni usahawan muda, Mohd Safid Affendi Shamsudin di ladang lembu milik lelaki itu di Solok Bukit Baru.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kerajaan negeri menggalakkan golongan muda menceburi bidang penternakan yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan dalam bidang tersebut yang merupakan satu kerjaya yang diyakini boleh menjamin masa depan lebih cerah.

"Harap golongan muda dapat merebut peluang menceburi bidang ini kerana terdapat banyak bantuan disediakan kerajaan seperti Agropreneur," katanya.