X

Kindly register in order to view this article
!

Antara amalan dan politik bahasa

Mercu tanda negara, Menara Berkembar Petronas pada 31 Ogos lalu. Walaupun Malaysia sudah 63 tahun merdeka, agenda bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan masih belum terlaksana sepenuhnya.
A
A
“TERIMA kasih,” ujar penulis ketika menerima baki wang daripada juruwang kedai di sebuah kompleks beli-belah terbesar di ibu negara. “Welcome,” balas juruwang itu.

Mendengar jawapan itu, penulis memerhati dengan lebih teliti nama juruwang itu yang terpampang di tag namanya. Jelas, juruwang tersebut mempunyai nama Melayu. Riak wajahnya, serta warna kulit sawo matang, membawa kesimpulan bahawa juruwang tersebut adalah anak watan.

Penulis bergerak ke sebuah toko buku pula. Setelah membelek sebuah buku undang-undang yang dibungkus dengan plastik, penulis berjalan menuju kepada seorang pembantu kedai.“Maaf dik, saya nak tengok buku ni. Boleh saya buka plastik ni?” tanya penulis.

“Of course, sir,” jawab pembantu kedai itu sambil tersenyum. Daripada pemerhatian penulis, pembantu kedai ini juga jelas seorang anak muda berketurunan Melayu.

Hairan

Penulis hairan dengan jawapan yang diberi oleh juruwang dan pembantu kedai tadi. Soalan dalam bahasa Melayu yang diajukan seketika tadi disambut dengan jawapan dalam bahasa Inggeris. Perkara ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang aneh. Kerap kali, perbualan harian yang berlangsung antara kita disulami oleh bahasa ibunda dan bahasa penjajah. Malah, terdapat juga anak-anak watan yang lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris, termasuklah dalam penggunaan seharian.

Pada ketika ini, penulis ingin menjemput pembaca mengamati Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa “Bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.” Demi kesempurnaan, harus dinyatakan di sini bahawa Perkara 152(1) tidak menghalang pengajaran atau pembelajaran bahasa-bahasa lain.

Sekiranya diteliti, peruntukan Perkara 152(1) adalah amat terang serta jelas. Bahasa rasmi negara kita ini adalah bahasa Melayu. Namun, kita masih mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Malah, bahasa pengantar sesetengah mata pelajaran di sekolah-sekolah pun adalah bahasa penjajah ini.

Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris digunakan secara meluas di mahkamah-mahkamah kita. Masalah penggunaan bahasa di mahkamah ini diamati seawal tahun 1990 oleh Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Hashim Yeop A. Sani. Beliau telah mengarahkan kesemua hakim dan pesuruhjaya kehakiman untuk menyampaikan sekurang-kurangnya satu alasan penghakiman dalam bahasa Melayu pada setiap bulan.

Masalah ini juga menular kepada pemimpin-pemimpin kita. Sesetengah pemimpin kita amat berbangga dengan ‘kebolehan’ mereka berbahasa Inggeris di arena antarabangsa, sehinggakan ketika ucapan kepada pendengar antarabangsa diberi, bahasa kita dilupakan sama sekali. Anehnya, mereka ini masih cuba untuk menyampaikan ucapan mereka dalam bahasa penjajah walaupun penguasaan mereka terhadap bahasa itu amatlah lemah. Mereka ini seolah-olah segan untuk berbahasa Melayu.

Ini amat berbeza dengan pendekatan yang diberi oleh pemimpin-pemimpin dunia yang lain. Sebagai contoh, walaupun Presiden Rusia, Vladimir Putin fasih berbahasa Inggeris, namun apabila beliau memberi ucapan ataupun sidang akhbar, beliau akan menyampaikan ucapannya itu dalam bahasa Rusia. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin, antara lain, dari Perancis, Sepanyol dan Venezuela. Kesemuanya lebih selesa malah berbangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri.

Bahasa ibunda kita telah didaulatkan dengan secara terang serta jelas oleh Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Namun, disebabkan oleh minda kita yang masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, perkara-perkara yang mempunyai ciri-ciri Barat dipandang molek oleh kaca mata kita. Pemikiran ini mesti dihakis. Dan proses penghakisan ini mesti dimulakan dengan segera.

Vernakular

Bagaimanapun, proses penghakisan ini menjadi bertambah rumit apabila anak-anak kita telah dari awal lagi dibentuk menurut bahasa kaum masing-masing melalui aliran persekolahan. Sekolah-sekolah ini dikenali sebagai sekolah vernakular ataupun sekolah jenis kebangsaan.

Penggunaan bahasa sesebuah kaum dititikberatkan, sehinggalah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tersisih. Hasilnya, sentimen dan jurang perkauman yang wujud sejak zaman penjajahan British dipupuk dengan tidak secara langsung. Ini adalah suatu ancaman kepada perpaduan kaum di negara kita.

Penubuhan sekolah jenis kebangsaan telah menyaksikan berlakunya pemecahan masyarakat mengikut kaum, di mana tiap-tiap satu kaum hanya mementingkan penggunaan bahasa mereka sendiri.

Jelas, ia tidak memberi sebarang sumbangan kepada peningkatan perpaduan antara kaum kerana wujudnya masalah komunikasi. Pergaulan antara kaum juga menjadi terhad sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Malah, ia juga menimbulkan syak wasangka antara kaum.

Penubuhan sekolah jenis kebangsaan jelas tidak menitikberatkan aspek perpaduan antara kaum. Ia juga adalah lanjutan polisi zaman British, yang mengambil perspektif bahawa rakyat negara ini lebih senang untuk dikawal apabila mereka diasingkan menurut bangsa masing-masing.

Masalah ini jelas. Tetapi, sesetengah pihak telah menggunakan isu ini untuk mengutarakan agenda serta kepentingan politik mereka, tanpa menghiraukan bahawa ia akan memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.

Malah, pihak ini berpandangan bahawa ketidakharmonian antara kaum ini sebagai satu senjata yang membolehkan mereka dinobatkan sebagai pahlawan kaum mereka. Mereka kononnya memperjuangkan hak bangsa mereka untuk menggunakan bahasa kaum mereka, walaupun mereka sedar bahawa mereka hanya bertindak begitu demi kepentingan politik.

Kita harus kembali kepada Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152(1) dalam perlembagaan jelas menjamin ketinggian dan kesucian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara ini. Sekiranya semangat Perkara 152(1) dijunjung dan diterima pakai secara menyeluruh, nescaya negara kita akan lebih teguh, walaupun terdiri daripada berbilang bangsa.

*Datuk M Reza Hassan ialah lulusan undang-undang Universiti Wolverhampton, United Kingdom. Kini beliau ialah peguam di Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!