Bersih persoal amalan lantikan politik dalam GLC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan amalan pentadbiran sebelumnya dengan membuat pelantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan memaklumkan, proses lantikan itu perlu dilakukan secara terbuka dan telus agar rakyat Malaysia yang berkelayakan dan berminat dapat memohon.

Katanya, Kerajaan Perpaduan harus menamatkan lantikan politik yang berdasawarsa lamanya sehingga menyebabkan rasuah dan salah urus GLC.

"Terbaharu adalah lantikan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif di Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), iaitu sebuah syarikat milik kerajaan.

"Walaupun Wong Chen telah melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun, pelantikan ini seharusnya ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan wakil rakyat perlu dielakkan sebagai calon bagi jawatan dalam GLC," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, penapisan oleh JPKP akan memastikan hanya individu yang layak dilantik ke jawatan utama GLC dan badan berkanun kerana syarikat itu adalah penjaga kepada kekayaan awam, dan bukannya perniagaan swasta.

"Pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya calon-calon berkelayakan memohon sebagai Pengarah Eksekutif untuk dua GLC di bawah kementerian beliau, Teraju dan Peneraju, perlu diteladani.

" Ia juga boleh dikanunkan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) melantik lembaga GLC dan syarikat berkanun," jelasnya.