X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Cadangan naikkan denda kepada RM1 juta dibawa ke Sidang DUN

Amirudin mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Pengurusan Air Selangor, Kuala Lumpur hari ini. -Foto: FB Amirudin Shari
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor akan meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 bagi menaikkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta terhadap mana-mana individu atau premis yang terbukti menyebabkan pencemaran sumber air di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penguatkuasaan semata-mata tidak memadai, sebaliknya perlu wujudnya undang-undang yang lebih tegas bagi memastikan kesedaran sentiasa ada dalam masyarakat.

"Pindaan akan turut melibatkan beberapa lagi peruntukan lain susulan siri pencemaran air di negeri ini. Kalau setakat penguatkuasaan sahaja, kita boleh kerah ratusan ribu penguatkuasaan.

"Proses ini perlu dibawa ke Sidang DUN sebaik ia bermula pada Oktober hingga November nanti dan akan dibuat dalam pembentangan bajet tahunan untuk ia segera dipinda," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Air Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sudah membuat pelbagai kajian dengan memperincikan segala kriteria bagi memastikan proses pindaan enakmen tersebut berjalan lancar.

"Kementerian Alam Sekitar diharap segera bertindak mengubah akta berkaitan alam sekitar dengan turut mengenakan denda lebih tinggi," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh kawasan sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Tujuh daerah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!