Vaping sudah jadi normal baharu

No Image Caption
A
A
A

UMUM mengetahui bahawa merokok merupakan tabiat buruk yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Kesedaran ini hasil daripada kempen ‘Merokok Membahayakan Kesihatan’ yang giat dijalankan sejak tahun 1980-an lagi, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS) oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan mendapati kelaziman merokok dalam kalangan perokok di Malaysia telah menurun sebanyak 1.5 peratus kepada 21.3 peratus orang dewasa di Malaysia pada tahun 2019 dengan purata rokok yang dihisap menurun kepada 12 batang rokok sehari.

Walaupun kelaziman merokok berkurangan, NHMS 2019 mendapati kelaziman perokok menggunakan rokok elektronik dan vape agak signifikan pada 5 peratus daripada responden.

Populariti rokok elektronik dan vape ini semakin meningkat bukan sahaja dalam kalangan anak muda tetapi juga mereka yang lebih berusia, malahan berstatus VVIP.

Menghisap vape di tempat awam juga bukanlah sesuatu yang luar biasa bahkan boleh dianggap cool kerana mengikut trend terkini. Ini menunjukkan bahawa budaya vape atau vaping sudah menjadi satu kelaziman dan normal baharu kepada perokok dan bekas perokok yang sudah beralih arah meninggalkan rokok tembakau.

Bila ada permintaan, sudah tentu ada penawaran. Begitulah lumrah ekonomi pasaran yang membolehkan lambakan produk rokok tanpa tembakau ini di pasaran sekarang. Namun, kita perlu bertanya, adakah produk-produk bebas tembakau ini selamat digunakan?

Dari segi kesihatan, satu kajian dilakukan oleh Public Health England yang membuktikan bahawa menghisap vape dan rokok elektronik lebih baik berbanding merokok. Lebih 50 peratus daripada tiga juta pengguna e-rokok di United Kingdom (UK) adalah bekas perokok berasaskan tembakau.

Namun dari segi keselamatan produk, masih belum ada kajian yang menyeluruh dilakukan. Malah tiada piawaian yang boleh dijadikan tanda aras sedangkan produk-produk ini bebas dijual secara terbuka di pasaran dan atas talian.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Badan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS) telah membenarkan gergasi industri tembakau dunia, Philip Morris International (PMI) untuk memasarkan sistem pemanasan tembakau tanpa bakar yang dikenali dengan nama IQOS sebagai produk risiko yang dimodifikasi.

FDA merupakan sebuah badan pengawasan yang cukup terkenal dengan syarat pengawasan yang ketat dan sering dijadikan tanda aras piawaian sesuatu produk baru secara global. Selain memperakui sistem pemanasan tembakau tanpa bakar ini mempunyai risiko lebih rendah berbanding rokok dan boleh dipasarkan sedemikian di AS, FDA juga menegaskan bahawa sistem IQOS ini bukan rokok.

Saintifik

Oleh itu, keputusan FDA ini sememangnya sesuatu perkembangan yang menarik. Ini kerana walaupun sistem dan produk itu telah berada di pasaran sejak tahun 2014 dan digunakan seramai 15 juta orang di lebih 52 negara di dunia, ramai yang meragui dan mempersoal dakwaan PMI selama ini bahawa sistem IQOS ini berbeza dengan merokok dan risiko kemudaratan terhadap kesihatan adalah lebih rendah berbanding merokok.

Bukti saintifik yang selama ini dikemukakan oleh syarikat ini turut dipersoal walaupun kajian-kajian bebas daripada komuniti saintifik yang diterbitkan dalam jurnal jurnal antarabangsa kesihatan awam turut menyokong bukti saintifik yang dikemukakan oleh PMI.

Antara pengkritik terhebat alternatif kepada rokok ini di peringkat antarabangsa adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut mengingatkan syarikat tersebut supaya tidak menyalahtafsir keputusan FDA sebagai pengiktirafan terhadap IQOS.

Kritikan keras WHO ini ada baik dan ada buruknya. Sememangnya alternatif kepada rokok masih ada risiko kesihatan seperti diingatkan, namun WHO juga tidak seharusnya berjuang bermati-matian menentang alternatif kepada rokok hanya kerana sentimen anti-produk tembakau yang tebal.

Sebaliknya, WHO perlu melihat alternatif kepada rokok itu sebagai strategi yang melengkapi perang terhadap rokok. Jika tidak, mungkin nanti apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendung pula berciciran.

Merokok memang amat berbahaya dan memudaratkan kesihatan, namun merokok juga adalah tabiat. Untuk melawan tabiat bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, bukan senang untuk membuang ketagihan merokok.

Perokok perlu kekuatan mental dan spiritual, selain sokongan moral daripada orang sekeliling untuk membuang tabiat itu.

WHO perlu berfikiran lebih terbuka dalam melawan tabiat buruk ini. Mungkin apa yang boleh ditekankan ialah gaya hidup sihat yang bebas asap rokok. Psikologi memainkan peranan penting. Gunakan psikologi berlawanan dalam strategi memerangi rokok.

Pelbagai kempen dan saranan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi menghentikan tabiat merokok. Namun, agak sukar menghentikan amalan itu secara drastik.

Tabiat

Selain itu, dalam diskusi ilmiah kesihatan awam, ada konsep yang dipanggil pengurangan kemudaratan atau harm reduction, satu konsep yang sinonim dengan pembanterasan penggunaan dadah. Walaupun belum menjadi satu konsep arus perdana dalam wacana dasar kesihatan, namun konsep ini wajar dipelopori dan diberi perhatian oleh pakar kesihatan awam.

Misalnya, gula berlebihan memudaratkan kesihatan. Alternatif kepada gula ialah stevia yang digunakan oleh penghidap diabetis atau sekiranya mahu mengurangkan pengambilan gula berlebihan. Langkah menggunakan alternatif gula ini didasari konsep pengurangan kemudaratan.

Ini adalah konsep yang perlu diteliti dan diaplikasikan oleh pakar kesihatan awam hari ini dalam usaha melawan tabiat merokok. Walaupun Malaysia telah menunjukkan perkembangan positif dalam usaha menentang gejala merokok, namun kerajaan terutamanya pakar kesihatan awam perlu memberi tumpuan kepada alternatif kepada rokok yang sedang popular sekarang ini.

Ambil kira bukti saintifik yang dikemukan oleh komuniti saintifik bebas dan jalankan lebih banyak kajian untuk pasaran tempatan. Perketat atau perkenalkan undang-undang yang setimpal dengan risiko yang dibawa produk-produk alternatif ini.

Jangan ambil jalan mudah, fikir dengan mendalam dan lihat pendekatan yang diamalkan di negara lain. Jangan berlapang dada dengan penurunan kelaziman merokok di kalangan rakyat Malaysia dan pantau perkembangan alternatif kepada rokok yang kian popular ini. Pastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada informasi yang tepat tentang produk-produk ini serta risiko penggunaan produk-produk ini.

Oleh itu kerajaan perlu pantau kualiti produk-produk ini. Siapkan kerangka undang-undang yang tepat, adil dan mendepani zaman. Setakat ini, tiada undang-undang khusus mengenai penggunaan vape yang diwartakan di Malaysia dan penjualan vape juga tidak dikawal seperti penjualan rokok.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian