X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Enam pelukis mural terharu dapat galakan Tengku Hassanal

Barisan pelukis bersama Tengku Hassanal bergambar di hadapan mural yang dihasilkan mereka ketika lawatan baginda hari ini.
A
A

KUANTAN - Enam anak muda pelukis mural tiga wajah ikonik Malaysia di Batu Tiga, di sini menjadi tular selepas Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat mencemar duli melihat hasil seni wajah baginda semalam.

Mereka ialah Mohd Amir Farouk, 30; Kamal Mohd Idris, 29; Ahmad Fadzril Abdul Ruzsnan, 26; Muhammad Ikmal Abdul Manan, 25, dan dua lagi pelajar praktikal Abied Rohman Jamaluddin, 20 dan Azri Azahar, 31.

Mereka yang dikenali sebagai kumpulan pelukis Projek06 melukis wajah Tengku Hassanal; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di dinding Klinik Putra Medik Batu Tiga, di sini.

Mohd Amir berkata, kehadiran dua daripada tiga wajah ikonik yang dianggap hero Malaysia dan negeri Pahang itu ke lokasi mural merupakan satu penghormatan buat mereka.

"Memang tak sangka lukisan wajah Tengku Hassanal, Datuk Seri Wan Rosdy dan Dr Hisham jadi tular. Lebih membanggakan apabila Tengku Hassanal memuji dan memberi galakan untuk kami terus berkarya. Menteri Besar Pahang juga mempelawa untuk berjumpa.

"Alhamdulillah selepas hampir empat tahun berkarya dengan menghasilkan lebih 100 akhirnya kami dikenali. Kami juga ingin berterima kasih kepada Dr Seelan dari Klinik Putra Medik yang memberi idea melukis wajah kesemua pemimpin kesayangan rakyat ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tengku Hassanal melihat hasil mural dan sempat memberi galakan agar terus melukis lagi kepada para pelukis
Tengku Hassanal melihat hasil mural dan sempat memberi galakan agar terus melukis lagi kepada para pelukis

Katanya, sebelum ini mereka pernah dikecam kerana menterjemah kreativiti di dinding awam tetapi tidak mematahkan semangat untuk meneruskan karier sebagai pelukis mural dan grafiti.

"Pada awal lukisan ini dibuat, kami pernah dikecam di Facebook kerana ada yang bergambar ketika belum siap sepenuhnya. Ada yang membuat laporan polis kerana mendakwa kami menghina pemimpin.

"Lukisan itu belum siap sepenuhnya kerana faktor cuaca dan kekangan masa. Bagaimanapun kami dinasihatkan supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) turut memasang CCTV bagi memantau aktiviti kami. Pemasangan CCTV juga mengelakkan sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mural wajah ikonik bersaiz 60x20 kaki itu siap dalam tempoh 10 hari menggunakan kaedah cat dan spray.

Enam anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan pelukis Projek06.
Enam anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan pelukis Projek06.

Kumpulan Pelukis Projek06 juga mahir dalam lukisan 3D dan 'air brush'.

Lebih membanggakan kesemua mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang dikagumi.

Mohd Amir merupakan graduan Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif dari Institut Kemahiran Belia Negara manakala Kamal mempunyai Ijazah Sarjana Senibina Universiti Teknologi Mara.

Ahmad Fadzril pula lulusan Ijazah Seni Halus manakala Muhammad Ikmal pemegang Ijazah Senibina Universiti Sains Islam Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!