X

Kindly register in order to view this article
!

Enam lelaki didakwa bergaduh, merusuh di kedai makan

Laporan Sinar Harian berkaitan kejadian yang tular di media sosial.
A
A

JOHOR BAHRU - Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh dan merusuh di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah bulan lalu.

Sementara dua lagi rakan mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan terhadap keenam-enam tertuduh di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Mereka yang tidak mengaku bersalah ialah M Tishan dan K Shakty, masing-masing berusia 19 tahun, G Yoganathan, 31, dan G Suresnayar, 30, yang mohon untuk dibicarakan.

Keempat-empat mereka dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 setiap seorang selepas permohonan perbicaraan diterima.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara terlanggar meja

Dua orang tertuduh yang mengaku salah ialah kerani kilang, R Navin Kumar, 23, dan penyelia kilang, T Subaraj, 19, yang tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200.

Antara tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret, Johor Bahru hari ini atas pertuduhan bergaduh dan merusuh di sebuah kedai makan.
Antara tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret, Johor Bahru hari ini atas pertuduhan bergaduh dan merusuh di sebuah kedai makan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka dituduh secara bersama melakukan kesalahan merusuh menggunakan kerusi dan meja di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah pada jam 8 malam, 23 Ogos lalu.

Kes didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Tishan yang bekerja sebagai mekanik kereta, dan Shakty sebagai penyelia kilang diwakili peguam R Ramjahentherau.

Yoganathan dan Suresnayar yang tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwakili peguam Datin Freda Sababatin bersama Veeranesh Babu dan Foo Fang Leong.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Fatullah dan disebut semula 29 September ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, dua kumpulan lelaki melibatkan 15 individu bergaduh di sebuah kedai makan semasa mengadakan sambutan hari jadi dipercayai disebabkan perselisihan faham.

Insiden yang bermula dengan pertengkaran mulut menjadi kecoh apabila mereka saling membaling kerusi dan meja, video rakaman pergaduhan berdurasi 2.07 minit itu kemudian tular dalam media sosial.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!