X

Kindly register in order to view this article
!

Semangat baharu Grealish

Jack Grealish
A
A

SELEPAS mendapat panggilan kali pertama menyarung jersi England, kapten Aston Villa, Jack Grealish sudah menanam impian untuk terus mempertahankan statusnya sebagai pemain utama The Three Lions.

Menurut Grealish, dia akan memanfaatkan setiap peluang yang diberikan pengendali England, Gareth Southgate selepas terpaksa menunggu lima tahun untuk membarisi skuad senior England.

"Saya tidak mahu lagi berada di luar selepas ini setelah mendapat kepercayaan Southgate. Jadi saya harus memberikan persembahan dan hasil terbaik sepanjang bersama The Three Lions jika tidak mahu disisihkan.

"Lima tahun adalah satu tempoh yang panjang. Tetapi kini saya sudah boleh menikmati momen yang saya idamkan selaku pemain profesional iaitu mewakili skuad kebangsaan England.

"Sudah menjadi impian saya untuk menyarung jersi (skuad senior) England sejak beberapa tahun dulu lagi. Sahya tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan ini," katanya.

Sebagai rekod, Grealish yang berasal dari Ireland pernah menyertai skuad Bawah 21 tahun (B-21) England pada 2016 dan 2017. Sebelum itu, dia pernah membarisi skuad B-17 dan B-18 Ireland Utara.

Biarpun diberi kepercayaan menyertai skuad B-21 England sejak 2016, pemain berusia 24 tahun itu masih gagal menempatkan diri dalam skuad senior The Three Lions.

"Perkara paling sukar dihadapi seorang pemain bola sepak adalah mendapat panggilan mewakili negara. Tetapi apabila anda terpilih untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, ia menjadi tanggungjawab anda menggunakan sepenuhnya potensi diri anda," ujarnya.

Grealish juga dianggap bertuah kerana dipanggil memperkuatkan England bagi menghadapi kempen Liga Negara-Negara Eropah bertemu Iceland dan Denmark disebabkan ketiadaan penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan tonggak Tottenham Hotspur, Harry Winks yang masih cedera.

Grealish menjadi sumber inspirasi kepada Aston Villa apabila berjaya mengekalkan status Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim pertama di pentas elit saingan liga utama Inggeris berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!