Keyakinan Muafakat Nasional hadapi PRU15

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz (tengah) meraikan kemenangan bersama pimpinan tertinggi BN. -Foto Bernama
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz (tengah) meraikan kemenangan bersama pimpinan tertinggi BN. -Foto Bernama
A
A
A

KEMENANGAN bergaya calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak meneruskan momentum kemenangan BN pada PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

BN berhak untuk bergembira kerana telah berjaya menjaringkan tujuh gol berbalas lima setakat ini. Kegembiraan mereka sama seperti Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 dan lima PRK sebelum ini.

Cuma apa yang berlaku di Slim adalah petanda yang cukup jelas kepada BN iaitu sokongan undi Cina dan India sudah beralih kepada parti itu apabila ia berjaya menang di semua 13 Pusat Mengundi (PDM) yang mereka tewas pada PRU14 yang lalu.

Kemenangan besar Mohd Zaidi apabila beliau memperoleh majoriti lima kali ganda berbanding PRU14 yang lalu turut membuktikan bahawa kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin kuat dan kukuh.

Kemenangan itu juga membuktikan keyakinan rakyat kepada BN serta dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan PN setakat ini terutama ketika menghadapi saat getir akibat serangan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pada masa sama, ia sebagai satu motivasi kepada gabungan berkenaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU15 dan semakin bertambah mantap dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu jelas menunjukkan rakyat memilih kepimpinan BN dan gabungan itu akan cuba sebaik mungkin pada PRN Sabah bulan depan dan PRU15.

Bagaimanapun, gabungan tersebut tidak boleh terlalu seronok dengan kemenangan itu kerana boleh meletakkan mereka dalam zon bahaya. PRN Sabah juga sangat penting kerana ia memberi petunjuk kepada keputusan PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan di PRN Sabah dan PRU15 hanya akan berhasil sekiranya semua parti dalam Muafakat Nasional bergerak dalam satu barisan dan tiada sifat curiga-mencurigai dengan cabaran membina perspektif baharu dalam naratif politik nasional dan ekonomi negara.