Suami isteri bergaduh rupanya

Mangsa berlari meminta bantuan daripada orang awam selepas didakwa ditolak dari kereta oleh suspek.
Mangsa berlari meminta bantuan daripada orang awam selepas didakwa ditolak dari kereta oleh suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan kejadian seorang wanita yang hampir terjatuh dari sebuah kereta yang sedang bergerak di Jalan Magazine di sini malam tadi berpunca daripada pergaduhan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek yang juga suami kepada mangsa sudah ditahan selepas isterinya membuat laporan polis pada jam 10 malam.

Menurutnya, susulan daripada itu, suspek yang berusia 31 tahun ditahan di sekitar Jalan Patani di sini pada jam 12.15 tengah malam tadi.

"Suspek yang merupakan seorang penganggur mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah namun ujian saringan awal air kencingnya negatif.

"Kita turut merampas sebuah kereta Suzuki Swift yang dipandu suspek ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Soffian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1997.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan mulut dipercayai dipukul suaminya.

"Daripada keterangan mangsa, dia bersama suaminya menaiki sebuah kereta namun ketika tiba di Jalan Magazine berlaku pergaduhan antara mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, pintu penumpang di bahagian hadapan telah terbuka dan mangsa hampir terkeluar dari kereta yang sedang bergerak.

"Keadaan berlaku sehingga di hujung Jalan Dr Lim Chwee Leong yang mana, suami mangsa terus menolaknya keluar dari kereta dan meninggalkannya di situ. Mangsa dibantu orang awam dan menghubungi polis," katanya.

Soffian berkata, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang dan mempunyai seorang anak mengakui dipukul suaminya dan punca pergaduhan adalah disebabkan masalah keluarga.

Terdahulu tular satu klip video yang dipercayai dirakam oleh salah seorang pengguna jalan raya yang ternampak kejadian tersebut malam tadi.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi warganet yang menyangka ia adalah satu kejadian culik.